Skip to main content

PALAPES USM Junjung Sembah Hormat Sambut Keberangkatan Tuanku Canselor

USM PULAU PINANG, 24 November 2026 – Alunan pancaragam tentera mengiringi Perbarisan Penghormatan yang disempurnakan oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyambut keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis merangkap Canselor USM, ke Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) sempena pembukaan Upacara Konvokesyen Ke-64 universiti itu hari ini.

Baginda berkenan berangkat bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. Turut berkenan berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Perbarisan tersebut melibatkan tiga pegawai sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 62 pegawai kadet PALAPES USM daripada perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.

Perbarisan diketuai Ketua Cawangan Latih PALAPES USM, Kapten Dr. Lim Chee Ann, yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, manakala Pegawai Waran I, Mohd Khairuddin Ishak bertindak sebagai Sarjan Mejar Rejimen (RSM) perbarisan.

Iringan muzik pula disempurnakan oleh Pancaragam Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang dipimpin oleh Drum Major, Pegawai Waran II, Azril Azis.

Bagi memastikan kelancaran istiadat, latihan intensif telah dijalankan sejak awal November melibatkan barisan jurulatih dan anggota PALAPES USM bagi menyelaraskan pergerakan serta tugasan setiap anggota.

Di sebalik kemegahan perbarisan yang dipersembahkan, terserlah disiplin, komitmen, dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan anggota yang diberi amanah melaksanakan istiadat penuh tradisi itu.

Bagi pegawai kadet yang juga mahasiswa USM, penglibatan dalam perbarisan tersebut membawa makna yang tersendiri apabila mereka berpeluang menjunjung sembah hormat warga universiti kepada Tuanku Canselor pada hari yang bersejarah buat para graduan.

Keberangkatan Tuanku ke DTSP turut mengimbau hubungan erat institusi diraja Perlis dengan USM yang terjalin sejak 10 Jun 1972 apabila Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menyampaikan ucapan pada upacara konvokesyen sulung USM sebagai Canselor pertama universiti itu.

Lebih lima dekad kemudian, Tuanku Syed Sirajuddin kini mempengerusikan Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-64 di dewan yang dinamakan sempena Almarhum ayahanda baginda.

Hubungan bersejarah tersebut turut terpahat menerusi cokmar USM yang dikurniakan pada Jun 1972 bersempena Istiadat Perisytiharan Pelantikan Almarhum Tuanku Syed Putra sebagai Canselor pertama universiti berkenaan.

Cokmar itu kekal menjadi antara simbol kebesaran universiti dan digunakan dalam pelbagai istiadat rasmi termasuk upacara konvokesyen.

Sidang Pertama hari ini membuka tirai rangkaian 14 sidang Upacara Konvokesyen Ke-64 USM yang berlangsung hingga 1 Disember depan.

Seramai 9,134 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian, bermula daripada diploma hingga kedoktoran, termasuk dua penerima gelaran Profesor Emeritus dan Profesor Emerita, diraikan sepanjang upacara berkenaan bersama keluarga masing-masing di DTSP.

Teks:Kapten Dr. Lim Chee Ann, Ketua Cawangan Latih PALAPES USM
Suntingan: Tan Ewe Hoe, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab