NAIB CANSELOR USM SANTUNI SISWA BAHARU DALAM MAJLIS MAKAN MALAM PROGRAM SISWA LESTARI
Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut seramai 3,913 pelajar baharu ke Kampus Induk bagi Sidang Akademik 2026/2027, termasuk pelajar lepasan STPM yang berjaya melanjutkan pengajian ke program Ijazah Sarjana Muda.
Bersempena dengan pelaksanaan Program Siswa Lestari, USM menganjurkan Majlis Makan Malam Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2026/2027 sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan universiti, pegawai, dan warga Desasiswa Tekun serta para pelajar baharu.
Majlis yang mengangkat tema “Meraikan Mahasiswa Lestari, Menyemarakkan Perpaduan” itu bukan sekadar sebuah jamuan, malah menjadi wadah untuk menyemai semangat kebersamaan, perpaduan dan pembentukan jati diri dalam kalangan mahasiswa baharu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya berkata, USM melihat setiap pelajar yang diterima masuk ke universiti sebagai individu yang mempunyai potensi untuk berkembang dan memberi impak positif kepada industri, masyarakat dan negara tanpa mengira latar belakang keluarga, kaum mahupun laluan pendidikan.
Menurut beliau, peluang yang diberikan kepada mahasiswa untuk menimba ilmu dan membangunkan potensi diri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sepanjang berada di universiti.
“Keluarga di rumah mengharapkan yang terbaik pada anak-anak. Hari ini, hari mulanya kita adalah sama. Tiga, empat tahun yang berikutnya mungkin berbeza tetapi semuanya mempunyai potensi yang sama. Yang membezakan ialah sama ada anak-anak akan menggunakan peluang yang ada untuk menjadi yang terbaik ataupun cukup-cukup sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa USM sentiasa komited untuk membantu mahasiswa yang berdepan dengan cabaran sepanjang pengajian, termasuk dalam aspek akademik, kewangan, dan kebajikan, agar tiada halangan yang mengekang mereka daripada mencapai kecemerlangan.
Sementara itu, wakil suara pelajar baharu Desasiswa Tekun, Danial Zulsyahmy Zulazly, turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan USM atas sambutan yang diberikan kepada para pelajar sejak hari pertama mereka menjejakkan kaki ke universiti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) dan Majlis Penghuni Desasiswa Tekun (MPDT) atas komitmen serta usaha yang dicurahkan sepanjang pelaksanaan Minggu Siswa Lestari (MSL).
“Terima kasih atas kesabaran dan tenaga yang dicurahkan siang dan malam. Dari saat kami tiba membawa beg pakaian yang berat dan wajah yang keliru, PPSL tidak berhenti membimbing, membantu, menunjukkan jalan, dan memastikan kebajikan serta keselamatan kami sentiasa terjaga,” katanya.
Majlis Makan Malam Program Siswa Lestari ini turut mencerminkan komitmen USM dalam memastikan mahasiswa baharu mendapat sokongan yang sewajarnya sepanjang tempoh penyesuaian mereka di universiti.
Melalui bimbingan warga universiti dan mahasiswa senior, para pelajar baharu bukan sahaja didorong untuk mencapai kecemerlangan akademik, malah dibentuk dengan nilai sahsiah, kepimpinan, jati diri, dan semangat kesukarelawanan agar mampu menjadi insan yang menyumbang kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Penasihat Undang-undang, Pejabat Perundangan Universiti, Dato' Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Pengarah, Pusat Perancangan Institusi dan Strategik, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd; Pengerusi Majlis Penggawa, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM), Azfar Al Hafiz Azman, serta pegawai-pegawai utama USM, penggawa dan penolong penggawa Desasiswa Tekun serta barisan Pembimbing Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2026/2027.