
Naib Canselor Seru Warga USM Teruskan Penyelidikan demi Kecemerlangan Global

USM PULAU PINANG, 24 November 2026 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyeru warga universiti agar terus memperkukuh usaha penyelidikan dan inovasi ke arah mencapai kecemerlangan global yang memberi manfaat kepada masyarakat serta memenuhi keperluan setempat.
Beliau berkata, sebagai universiti penyelidikan yang berteraskan kelestarian, USM sentiasa komited menjadikan ilmu sebagai pemangkin kepada transformasi sosioekonomi, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan golongan yang memerlukan.
"Sebarang penyelidikan yang dilaksanakan perlu diterjemahkan dalam konteks yang lebih adil, melalui teknologi yang mudah diakses, persekitaran yang lestari, dan komuniti yang lebih berdaya tahan.
"Ini termasuk mencapai kecemerlangan global yang menekankan keperluan setempat, selain melahirkan bakat yang berani merentas disiplin, menembusi sempadan negara tetapi tetap berpaksikan nilai integriti, ihsan, dan tanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Pertama, Upacara Konvokesyen Ke-64 USM yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini hari ini.
Sidang berkenaan dipengerusikan oleh Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dan turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Abdul Rahman berkata upacara konvokesyen bukan sekadar majlis penganugerahan ijazah, sebaliknya merupakan medan pengiktirafan terhadap nilai ilmu sebagai asas kecemerlangan serta kesempatan untuk menghargai pengorbanan dan sumbangan pelbagai pihak yang membantu kejayaan para graduan.
Pada majlis itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada penerima gelaran Profesor Emeritus, Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak dan Profesor Emerita, Dr. Tan Sooi Beng, atas sumbangan besar mereka kepada universiti dan negara dalam bidang masing-masing.
Katanya, kedua-dua tokoh akademik berkenaan wajar dijadikan teladan oleh graduan sebagai personaliti unggul (towering personality) yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah terus menyumbang kepada masyarakat.
Turut diraikan pada sidang tersebut ialah 16 graduan sulung daripada enam program sarjana baharu yang diperkenalkan USM bagi memperkukuh pembangunan bakat serta memenuhi keperluan industri dan pasaran kerja semasa.
Menurut beliau, penawaran program baharu itu mencerminkan komitmen universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.
Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada penerima Pingat Emas Canselor, Tharmini, yang diiktiraf sebagai pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan.
Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan kecemerlangan holistik serta semangat juang tinggi yang sewajarnya menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus.
Beliau berkata setiap kejayaan yang diraikan hari ini lahir daripada ketekunan, pengorbanan, dan keberanian meneroka batas ilmu pengetahuan.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-64 USM yang dipengerusikan oleh Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, serta seluruh warga universiti yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis berkenaan.
Mengakhiri ucapannya, beliau mengingatkan para graduan agar terus menjadi duta ilmu dan nilai USM serta berpegang teguh kepada semangat "Kami Memimpin".
Turut berangkat pada upacara itu ialah DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis serta kerabat Diraja Perlis. Hadir sama Pro-Pro Canselor USM, barisan pengurusan tertinggi universiti, wakil institusi pengajian tinggi, para kenamaan, dan jemputan khas.
Teks:Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab