Muzium Anatomi USM Terima Kunjungan Akademik dari Dua Universiti Indonesia
Pelajar dan tenaga pengajar dari Indonesia meneroka kemudahan pembelajaran serta spesimen anatomi manusia di USM.
KUBANG KERIAN, 22 Oktober 2026 – Muzium Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan akademik daripada pelajar dan tenaga pengajar dua universiti dari Indonesia bagi meneroka kemudahan pembelajaran serta mendalami ilmu anatomi manusia.
Kunjungan tersebut melibatkan enam pelajar perubatan dan dua tenaga pengajar dari Universitas Pembangunan Nasional “Veteran” Jawa Timur (UPN VJT) pada sebelah pagi, diikuti empat pelajar kejururawatan dari Universitas Muhammadiyah Yogyakarta pada sebelah petang.
Kunjungan Sesi Pagi
Universitas Pembangunan Nasional “Veteran” Jawa TimurPelawat UPN VJT meneroka pameran dan bahan anatomi semasa sesi lawatan sebelah pagi.
Sepanjang lawatan, para pelawat disantuni oleh petugas muzium dan diberikan penerangan oleh Muhamad Nor Firdaus mengenai peranan Muzium Anatomi sebagai salah satu kemudahan sokongan pengajaran dan pembelajaran di Kampus Kesihatan USM, khususnya kepada pelajar perubatan di PPSP.
Para pelawat turut berpeluang meneroka pelbagai bahan pameran dan spesimen anatomi yang digunakan untuk tujuan pendidikan.
Kunjungan Sesi Petang
Universitas Muhammadiyah YogyakartaPelajar kejururawatan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta mengikuti penerangan serta melihat spesimen anatomi dengan lebih dekat.
Antara pengalaman menarik sepanjang lawatan ialah peluang melihat dan mempelajari struktur organ manusia sebenar serta kadaver yang digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar perubatan.
Lawatan ini memberikan pendedahan secara langsung kepada para pelawat mengenai kepentingan pembelajaran anatomi secara praktikal dalam memperkukuh pemahaman terhadap struktur tubuh manusia.
Muzium Anatomi USM terus komited untuk berperanan sebagai pusat pembelajaran yang interaktif dan bermaklumat, sekali gus memperkaya pengalaman pendidikan serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ilmu anatomi manusia.