MUZIUM ANATOMI USM TERIMA KUNJUNGAN 80 PELAJAR SMK BERIS PANCHOR
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 November 2026 – Muzium Anatomi, Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan akademik daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok, Kelantan yang melibatkan seramai 80 pelajar Tingkatan 4 dan 5 serta tujuh guru pengiring.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang pengajian dan peluang kerjaya di peringkat universiti, khususnya dalam bidang sains kesihatan dan perubatan.
Selain memperluas pengetahuan, lawatan berkenaan turut menjadi platform kepada pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk merehatkan minda dan mengurangkan tekanan menjelang peperiksaan yang bakal berlangsung pada penghujung November ini.
Sepanjang lawatan, para pelajar dan guru pengiring berpeluang meneroka pelbagai bahan pameran serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terdapat di Muzium Anatomi USM.
Mereka turut diberikan penerangan mengenai struktur dan fungsi tubuh manusia serta kepentingan ilmu anatomi dalam bidang perubatan.
Antara pengalaman menarik sepanjang lawatan ialah peluang melihat dan memegang spesimen organ manusia sebenar, selain menyaksikan sendiri kadaver yang digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar perubatan.
Pendedahan secara langsung ini memberikan pengalaman pembelajaran yang berbeza daripada suasana bilik darjah, sekali gus membantu pelajar memahami dengan lebih mendalam bidang anatomi dan aplikasinya dalam pendidikan perubatan.
Bagi menguji kefahaman pelajar terhadap ilmu yang diperoleh, pihak Muzium Anatomi turut menganjurkan aktiviti kuiz interaktif secara santai sebagai pengisian penutup lawatan.
Muzium Anatomi USM terus komited memainkan peranan sebagai pusat pembelajaran yang interaktif, informatif dan terbuka kepada masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program pendidikan serta lawatan akademik.
Inisiatif seumpama ini diharap dapat menyemai minat generasi muda terhadap bidang sains kesihatan, di samping memberikan inspirasi kepada mereka untuk meneroka peluang melanjutkan pengajian dan membina kerjaya dalam bidang perubatan pada masa hadapan.