Muzium Anatomi Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan akademik daripada 41 orang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, dengan diiringi dua orang guru.
Lawatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai ilmu anatomi manusia serta fungsi dan peranan Muzium Anatomi dalam menunjang proses pendidikan dan latihan bakal doktor perubatan.
Sepanjang lawatan, para pelajar dan guru pengiring berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai bahan pameran serta spesimen yang digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran pelajar perubatan USM.
Antara pengalaman menarik sepanjang lawatan tersebut ialah peluang melihat dan menyentuh sendiri spesimen organ manusia sebenar serta kadaver, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung yang melangkaui pembelajaran di bilik darjah.
Pendedahan seumpama ini bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap struktur dan fungsi tubuh manusia, malah berpotensi memupuk minat mereka terhadap bidang sains kesihatan dan perubatan.
Muzium Anatomi USM terus komited untuk berperanan sebagai pusat pembelajaran yang interaktif dan bermaklumat, sekali gus menyokong usaha memperkaya pengalaman pendidikan serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ilmu anatomi manusia.