MICRO-CREDENTIAL IKMa: USM PERKUKUH REKA BENTUK PEMBELAJARAN, BUKAN SEKADAR DIGITALISASI
Pembangunan Micro-Credentials tidak lagi dilihat sekadar sebagai usaha mendigitalkan kandungan kursus, sebaliknya memerlukan reka bentuk pembelajaran yang jelas dari segi hasil pembelajaran, aktiviti, pentaksiran dan jaminan kualiti bagi memastikan nilai pembelajaran kepada peserta.
Pendekatan itu menjadi antara tumpuan utama kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menerusi Bengkel Way Forward Program Micro-Credentials IKMa–USM yang berlangsung di USM, baru-baru ini.
Bengkel yang melibatkan Pusat Pengajian Pengurusan (PPP) dan Pusat Pengesahan Kualiti (QVC) USM itu memberi tumpuan kepada hala tuju pembangunan Micro-Credentials IKMa yang merangkumi reka bentuk pembelajaran, pembangunan kandungan, pemetaan hasil pembelajaran, penyampaian digital serta jaminan kualiti.
Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada tiga program IKMa, iaitu Sijil Eksekutif Setiausaha Koperasi (SESKo), Sijil Eksekutif Pemasaran Digital (SPEL) dan Sijil Eksekutif Pengurusan Koperasi (SEPKo).
Penglibatan wakil daripada bidang pembangunan dan perundingan koperasi, pembangunan modal insan, transformasi digital serta jaminan kualiti membolehkan pembangunan Micro-Credentials dibincangkan secara menyeluruh, bukan sahaja dari segi kandungan program, tetapi turut meliputi kaedah penyampaian, pengalaman pembelajaran, keperluan kompetensi dan mekanisme jaminan kualiti.
Delegasi IKMa diketuai oleh Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan & Perundingan Koperasi, Mohamad Rasydi Abd Rashid, dan disertai Pengarah Pembangunan Modal Insan dan Transformasi Digital, Faiz Ahmad Yatim, serta Pengarah Pusat Jaminan Kualiti dan Akreditasi (CQAA), Nurul Ezatty Roszaidi, bersama ahli pasukan IKMa.
Penyelaras QVC USM, Dr. Nik Hadiyan Nik Azman berkata, dalam kolaborasi tersebut PPP USM menyumbang kepakaran akademik dan pengurusan dalam pembangunan pengalaman pembelajaran yang relevan dengan keperluan profesional, manakala QVC memperkukuh aspek jaminan dan pengesahan kualiti Micro-Credentials.
“Gabungan kedua-dua perspektif itu memberi penekanan kepada pembangunan pengalaman pembelajaran yang mempunyai hasil pembelajaran, aktiviti dan pentaksiran yang jelas serta tersusun, selain memastikan inovasi dalam penyampaian digital disokong oleh mekanisme jaminan kualiti yang sistematik.
“Pendekatan berkenaan turut membuka ruang kepada kandungan pembelajaran distrukturkan dalam bentuk pengalaman yang lebih fokus, fleksibel dan berorientasikan kompetensi, sekali gus membolehkan peserta membangunkan kemahiran tertentu secara berperingkat mengikut keperluan profesional dan perkembangan kerjaya,” katanya.
Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, Nik Hadiyan berkata, Micro-Credentials turut menyediakan ruang pembelajaran yang lebih bersasar dan fleksibel, termasuk menyokong usaha upskilling dan reskilling melalui pengalaman pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan peserta.
“Transformasi digital turut menjadi sebahagian daripada perbincangan bagi membangunkan pengalaman pembelajaran yang lebih mudah diakses dan sesuai dengan profil peserta yang pelbagai.
“Pada masa sama, kandungan, hasil pembelajaran, pentaksiran dan pengalaman pembelajaran perlu disokong standard serta nilai yang jelas melalui mekanisme jaminan kualiti,” katanya.
Kolaborasi antara IKMa, PPP USM dan QVC itu menggabungkan kepakaran dalam pembangunan modal insan dan sektor koperasi, akademik dan pengurusan serta jaminan kualiti bagi menyokong pembangunan Micro-Credentials yang lebih tersusun dan berorientasikan kompetensi.
Kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran yang lebih luas dalam bidang Micro-Credentials, pendidikan fleksibel, jaminan kualiti dan transformasi pembelajaran digital, selaras dengan keperluan pembangunan kompetensi serta pembelajaran sepanjang hayat.
Bengkel berkenaan menjadi platform untuk memperincikan hala tuju pembangunan tiga program Micro-Credentials IKMa dengan memberi penekanan kepada reka bentuk pembelajaran, keperluan kompetensi dan jaminan kualiti, sekali gus menyokong usaha pembangunan modal insan dalam sektor koperasi.