MERENTAS BAHASA, MENYATUKAN PERADABAN: PROFESOR DR. GOH SANG SEONG CETUS DIMENSI BAHARU DUNIA TERJEMAHAN
Bahasa bukan sekadar medium komunikasi, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan pemikiran, budaya, dan peradaban manusia. Berteraskan kepentingan tersebut, Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang disampaikan oleh Profesor Dr. Goh Sang Seong menerusi tajuk “Perekayasaan Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu: Dimensi Baharu Kaedah dan Teknik Terjemahan” mengetengahkan perspektif mendalam tentang peranan terjemahan dalam memperkaya khazanah ilmu serta memperkukuh kefahaman antara budaya.
Syarahan ini memberikan tumpuan kepada perekayasaan terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu, khususnya dalam meneroka kaedah dan teknik yang dapat meningkatkan ketepatan serta keberkesanan penyampaian makna. Menurut Profesor Goh, terjemahan tidak seharusnya dilihat sebagai proses memindahkan perkataan semata-mata tetapi memerlukan penelitian terhadap konteks, struktur bahasa, dan latar budaya agar mesej asal dapat disampaikan dengan lebih tepat.
Mengupas aspek tersebut, beliau menekankan kepentingan mengekalkan makna dan bentuk teks sumber berdasarkan tujuan serta fungsi terjemahan. Beliau berkata, “Proses ini menuntut keupayaan penterjemah memahami imej mental yang terkandung dalam teks asal sebelum menzahirkannya semula dalam bahasa sasaran. Pendekatan sedemikian memperlihatkan bahawa penterjemahan merupakan suatu proses intelektual yang menggabungkan penguasaan bahasa, ketelitian analisis, dan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan.”
Antara aspek yang diketengahkannya ialah penggunaan pelbagai teknik terjemahan, termasuk terjemahan literal, persamaan makna, persamaan budaya, penambahan, pengurangan, dan transkripsi. Profesor Goh berkata, “Pemilihan teknik yang bersesuaian amat penting bagi memastikan hasil terjemahan bukan sahaja tepat dari segi bahasa malah mampu menyampaikan maksud sebenar mengikut konteks penggunaannya. Hal ini sekali gus menuntut penterjemah untuk memahami perbezaan linguistik dan budaya antara kedua-dua bahasa agar tidak berlaku penyimpangan makna yang boleh menjejaskan kefahaman pembaca.”
Selain itu, menurutnya lagi, isu kepincangan penterjemahan, kesilapan sebutan, alih bahasa, dan pengaruh dialek turut memperlihatkan cabaran yang perlu ditangani dalam usaha meningkatkan mutu terjemahan. “Kesalahan dalam memahami istilah atau konteks budaya boleh menimbulkan kekeliruan dan mengubah mesej yang ingin disampaikan. Justeru, ketelitian dan penguasaan bahasa serta kepekaan budaya menjadi elemen penting dalam menghasilkan terjemahan yang berkualiti khususnya dalam konteks komunikasi antara masyarakat yang mempunyai latar bahasa dan budaya berbeza,” katanya.
Secara keseluruhannya, syarahan ini menonjolkan kepentingan perekayasaan terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu sebagai wahana memperluas penyebaran ilmu, memperkukuh hubungan antara budaya, dan meningkatkan mutu komunikasi rentas bahasa. Penerokaan dimensi baharu dalam kaedah dan teknik terjemahan turut membuka ruang kepada perkembangan penyelidikan linguistik serta pemerkasaan bidang penterjemahan dalam landskap akademik. Sesungguhnya, apabila bahasa dirungkai dengan ketelitian dan makna dipelihara dengan kebijaksanaan, terjemahan bukan sahaja menghubungkan perkataan malah mendekatkan manusia melalui pemahaman dan perkongsian ilmu merentas peradaban.
Profesor Dr. Goh Sang Seong ialah seorang sarjana terkemuka dalam bidang penterjemahan Bahasa Cina–Bahasa Melayu di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh kesemua kelayakan akademik di USM, bermula dengan Ijazah Sarjana Muda (BA Hons) dalam Terjemahan & Interpretasi, diikuti Ijazah Sarjana (MA) dalam Terjemahan, dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Terjemahan. Sejak tahun 2008, beliau berkhidmat sebagai Pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, di Bahagian Pengajian Terjemahan dan Interpretasi dengan kepakaran dalam aspek linguistik, budaya, dan sosiologi terjemahan. Beliau kini juga menjawat jawatan sebagai Pengarah di Pusat Penerbit Universiti Sains Malaysia (Penerbit USM).
Beliau telah menghasilkan pelbagai karya penting termasuk Bahasa Cina–Bahasa Melayu: Kebolehterjemahan Budaya (2012), Koleksi Peribahasa China Terindah (2014), serta beberapa glosari undang-undang dwibahasa. Penyelidikan beliau merangkumi strategi terjemahan peribahasa dan chengyu, pembangunan projek inovatif seperti E-Terjemahan Bersuara Chengyu, serta kajian mendalam tentang adaptasi budaya dalam teks sastera. Dengan latar belakang akademik yang kukuh dan sumbangan penyelidikan yang meluas, Profesor Goh menjadi antara tokoh utama yang memperkukuh kedudukan USM sebagai pusat kecemerlangan ilmu bahasa dan budaya di Malaysia.
Syarahan Umum Pelantikan Profesor USM ialah majlis rasmi universiti yang meraikan pelantikan seseorang akademik ke jawatan Profesor, di mana beliau menyampaikan syarahan umum berkaitan bidang kepakaran, hasil penyelidikan, dan isu-isu semasa masyarakat kepada warga universiti serta masyarakat. Ia berfungsi sebagai platform pemasyhuran ilmu dan pengiktirafan akademik.