MERDEKA AWARD TALK SERIES DI USM BINCANG TENTANG KEPENTINGAN PENYELIDIKAN, TUNTUT IMPAK JANGKA PANJANG
Penyelidikan yang berkualiti bukan sekadar membawa kepada satu penemuan baharu, tetapi perlu mampu menjadi penyelesaian yang bermanfaat kepada masyarakat.
Hal ini menjadi fokus utama program Merdeka Award Talk Series: Campus Edition bertajuk “Big Ideas, Bigger Impact: How Research Changes Lives”, yang dianjurkan oleh PETRONAS dan Shell dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), di sini penghujung Oktober lalu.
Program yang menghimpunkan mahasiswa, penyelidik dan ahli akademik tersebut, secara umumnya memberi peluang kepada ahli akademik untuk memberi motivasi ke arah kecemerlangan tentang penyelidikan yang melangkaui teori bagi menghasilkan impak dalam kehidupan sebenar.
Hadir sebagai ahli panel perbincangan tersebut ialah ahli akademik tersohor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad, yang juga penerima Merdeka Award 2014; Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik USM, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd; dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM, Profesor Madya Dr. Yanny Marliana Baba Ismail (penerima geran 2019 Merdeka Award); serta Pembaca Berita dan Penyunting Kanan Astro AWANI, Cynthia Ng, sebagai moderator perbincangan.
Perbincangan tersebut menekankan kepentingan penyelidikan berorientasikan misi (mission-oriented research) yang mempunyai matlamat jelas, khususnya dalam menangani masalah dan memenuhi keperluan masyarakat.
Penyelidikan yang mendatangkan impak ini diukur melalui sejauh mana ilmu yang dihasilkan dapat dimanfaatkan, bukan berdasarkan penemuan atau penerbitan ilmiahnya sahaja.
Usaha untuk memastikan hasil penyelidikan dapat memberikan impak memerlukan masa, komitmen, dan kerjasama pelbagai pihak terutamanya industri, justeru penyelidik perlu melindungi hasil penyelidikan mereka serta menerbitkan hasil penyelidikan berkenaan bagi memperluas penyebaran ilmu sekali gus meningkatkan keterlihatan mereka dalam kalangan industri.
Dalam pada itu, mahasiswa turut digalakkan untuk mengambil inisiatif seperti mencari peluang untuk menjalankan penyelidikan serta berani meneroka cabaran baharu bagi memperluas pengalaman dan pengetahuan.
Menurut Abdul Latif, penyelidik perlu memahami keseluruhan aspek bidang kajian supaya dapat melihat kegagalan sepanjang proses penyelidikan sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan yang menuntut kesungguhan untuk terus mencari penyelesaian.
“Dalam dunia penyelidikan, kadar kegagalan dan kejayaan adalah sama, dan oleh sebab itulah penyelidik perlu terus menyelidik, selain jangan sesekali pernah berputus asa,” kata beliau.
Proses penyelidikan juga merupakan satu perjalanan atau proses jangka panjang, iaitu daripada pemerolehan ilmu kepada penghasilan penyelesaian sebelum memberikan impak kepada masyarakat.
Turut hadir ke program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato' Dr. Azlan Amran, Setiausaha Pemegang Amanah Merdeka Award, Mufidah Mahmud, dan Ketua Pegawai Strategi Akademi Sains Malaysia, Nitia Samuel.