Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

MENDIDIK GENERASI, MENINGGALKAN LEGASI: PALAPES USM RAIKAN PERPISAHAN, HARGAI JASA KETUA JURULATIH

PULAU PINANG · 13 Oktober 2026

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan Perbarisan dan Jamuan Perpisahan Ketua Jurulatih PALAPES USM bagi meraikan Mejar Muhammad Nor Syawal Bachtiar di Markas PALAPES USM, di sini semalam.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau dalam membimbing dan membentuk pegawai kadet PALAPES Darat USM, khususnya dari segi disiplin, kepimpinan, ketahanan mental dan jati diri.

Majlis dimulakan dengan Perbarisan Ketua Jurulatih di MT Line PALAPES USM yang disertai pegawai tetap, pegawai sukarela, pegawai muda, jurulatih dan staf pasukan. Acara diteruskan dengan jamuan perpisahan yang diserikan dengan ucapan oleh Timbalan Komandan PALAPES USM, Mejar Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim, serta penyampaian cenderahati daripada wakil pegawai kadet, anggota dan pasukan sebagai tanda penghargaan kepada beliau.

Dalam ucapan perpisahannya, Muhammad Nor Syawal merakamkan penghargaan atas sokongan, kepercayaan dan persahabatan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Beliau turut menjelaskan bahawa ketegasan dan teguran yang diberikan adalah berlandaskan tanggungjawab untuk membentuk anggota yang lebih berdisiplin dan berdedikasi.

“Saya pergi meninggalkan tugas, tetapi tidak meninggalkan persahabatan. Saya meninggalkan jawatan, tetapi tidak meninggalkan kenangan,” katanya.

Muhammad Nor Syawal mula berkhidmat di PALAPES USM sebagai Pegawai Latih dari Jun 2013 hingga April 2016 sebelum kembali menyertai pasukan itu pada Mei 2025 sebagai Ketua Jurulatih, sehingga Oktober 2026. Sepanjang dua fasa perkhidmatannya di PALAPES USM, beliau telah membimbing pelbagai generasi pegawai kadet yang kini berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik, pensyarah universiti, guru, pegawai polis, anggota tentera dan profesional dalam bidang lain.

Beliau turut mempunyai pengalaman perkhidmatan selama 21 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dijangka menamatkan perkhidmatan menerusi persaraan awal pada 2027.

Sementara itu, Ketua Cawangan Latih PALAPES USM, Kapten Dr. Lim Chee Ann berkata, PALAPES USM merakamkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan Muhammad Nor Syawal serta mendoakan agar beliau dan keluarga dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan dalam menempuh fasa kehidupan seterusnya.

“Bagi keluarga besar PALAPES USM, perpisahan ini bukan sekadar menandakan berakhirnya penugasan, tetapi juga menjadi kesempatan untuk menghargai jasa dan sumbangan Muhammad Nor Syawal sepanjang menerajui pasukan. Didikan, ketegasan dan kepercayaan yang diberikan beliau telah membentuk anggota yang lebih berdisiplin serta memahami tanggungjawab dan nilai kepimpinan. Walaupun penugasan dan jawatan silih berganti, ilmu serta nilai yang diterapkan akan terus menjadi panduan kepada anak didiknya.

“Penghargaan turut ditujukan kepada keluarga beliau yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang tempoh perkhidmatan. Semoga beliau dan keluarga terus dikurniakan kebahagiaan, ketenangan dan kesejahteraan dalam menempuh fasa kehidupan seterusnya,” katanya.

Teks: Kapten Dr. Lim Chee Ann, Ketua Cawangan Latih PALAPES USM
Foto: Kapten Dr. Lim Chee Ann, Ketua Cawangan Latih PALAPES USM