MBPJ, USM PERKASA USAHAWAN MELALUI AI, 10 TERIMA PENGIKTIRAFAN

Kerjasama strategik antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memperkukuh kemahiran digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara inisiatif pembangunan keusahawanan tempatan, seiring peningkatan penyertaan program keusahawanan MBPJ kepada 2,631 pada tahun ini.
Menerusi kerjasama tersebut, usahawan tempatan menerima bimbingan secara praktikal dalam penggunaan AI bagi menghasilkan kandungan pemasaran, memperkukuh komunikasi pelanggan serta membangunkan strategi jualan digital yang lebih berkesan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah latihan “From Content to Cash” menerusi kursus Gen AI dalam Strategi Jualan Live, yang dikendalikan oleh Dr. Kamaruzzaman Abdul Manan, Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, USM, selaku tenaga pengajar.
Latihan berkenaan memberi peluang kepada peserta menggunakan teknologi AI berdasarkan produk dan keperluan perniagaan masing-masing, termasuk menghasilkan skrip jualan langsung, menyusun penerangan produk, menjangka pertanyaan pelanggan serta membina strategi komunikasi yang lebih menarik.
Pendekatan pembelajaran secara langsung itu turut membantu peserta memahami bagaimana teknologi AI boleh dimanfaatkan bukan sekadar untuk menghasilkan kandungan digital, malah menyokong pengurusan komunikasi dan pemasaran perniagaan.
Melalui bimbingan kepakaran akademik USM, peserta turut didedahkan kepada kepentingan menggunakan AI secara strategik agar teknologi tersebut dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, keyakinan berkomunikasi dan potensi penjanaan pendapatan.
10 Usahawan Terima Pengiktirafan
Sementara itu, seramai 10 usahawan tempatan menerima Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2026 sempena Hari Usahawan Petaling Jaya 2026 yang berlangsung pada 10 hingga 11 Oktober di Centre Court, The Curve, Mutiara Damansara.
Kesemua penerima anugerah bakal mengikuti lawatan sambil belajar ke Guangzhou, China pada Disember ini sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta potensi perniagaan masing-masing.

Majlis disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Najwan Halimi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Tuan Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan Datuk Bandar Petaling Jaya, YBhg. Dato' Mohd Yazid Sairi.
Komitmen MBPJ dalam memperkasa usahawan tempatan turut memperlihatkan perkembangan positif apabila jumlah penyertaan dalam program pembangunan keusahawanan meningkat kepada 2,631 pada 2026 berbanding 1,230 pada 2022, iaitu peningkatan kira-kira 114 peratus.
Sebanyak 28 sesi latihan keusahawanan telah dilaksanakan sepanjang tahun ini bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta daya saing komuniti perniagaan tempatan.
Bimbingan AI Perkukuh Keupayaan Usahawan Digital
Penglibatan USM melalui kepakaran Dr. Kamaruzzaman dalam latihan AI turut memperlihatkan peranan universiti sebagai rakan strategik dalam memindahkan ilmu pengetahuan dan teknologi kepada komuniti.
Menerusi latihan tersebut, peserta bukan sahaja mempelajari cara menghasilkan kandungan menggunakan AI, tetapi turut memahami bagaimana teknologi berkenaan boleh membantu menyesuaikan mesej pemasaran mengikut keperluan pelanggan, menyediakan respons terhadap pertanyaan pengguna dan meningkatkan keyakinan ketika mengendalikan sesi jualan langsung.

Pendekatan itu selari dengan keperluan memperkukuh keupayaan usahawan daripada sekadar mengetahui penggunaan asas AI kepada kebolehan memanfaatkan teknologi tersebut dalam situasi sebenar perniagaan.
Kerjasama MBPJ dan USM juga membuka ruang kepada pembangunan keusahawanan berasaskan teknologi yang lebih inklusif, khususnya bagi membantu usahawan mikro dan kecil menyesuaikan operasi mereka dengan perubahan ekonomi digital.
MBPJ Sasar 50 Usahawan Baharu pada 2027
Dalam perkembangan berkaitan, MBPJ bakal memperkenalkan Program Skill2Biz pada 2027 yang menyasarkan 50 bakal usahawan baharu dalam bidang barista dan dandanan rambut lelaki atau barber.
Kerjasama strategik bersama MBI Selangor dan The Curve turut membuka peluang pasaran kepada usahawan mikro melalui penyediaan tiga unit gerai mudah alih atau push cart.

Penganjuran Hari Usahawan Petaling Jaya 2026 turut dimeriahkan dengan 20 reruai jualan, sesi podcast, persembahan kebudayaan, cabutan bertuah, kaunter Jom Bayar Lesen 2027 serta kelas percuma TikTok Affiliate.
Gabungan latihan keusahawanan, bimbingan teknologi AI, akses pasaran dan pendedahan antarabangsa itu diharap dapat memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan serta melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dalam ekonomi digital.





