Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

MAKMAL DASAR 2026 PERKUKUH KEUPAYAAN MERANGKA KERTAS DASAR BERASASKAN BUKTI

PUTRAJAYA · 27 Ogos 2026

Hampir 60 peserta daripada pelbagai wakil institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta kementerian dan agensi kerajaan berhimpun dalam Makmal Dasar 2026: “Merapatkan Jurang – Merangka Kertas Dasar untuk Penggubalan Dasar Awam” yang berlangsung di Park Inn by Radisson Putrajaya.

Program anjuran Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menyediakan platform pembelajaran dan perkongsian untuk memperkukuh kefahaman peserta tentang proses pembangunan kertas dasar serta peranannya dalam menyokong penggubalan dasar awam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah IPPTN, USM, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee, menekankan kepentingan menterjemahkan pelbagai bentuk bukti dan pengetahuan kepada cadangan yang jelas serta dapat dimanfaatkan oleh pembuat dasar. “Dalam proses pembangunan dasar, kita mempunyai pelbagai sumber maklumat, data, pengalaman lapangan, dan dapatan yang bernilai. Namun, cabarannya ialah bagaimana semua maklumat tersebut dapat diterjemahkan kepada sesuatu yang jelas, ringkas, praktikal, dan boleh digunakan oleh pembuat dasar,” katanya.

Menurut beliau, proses penggubalan dasar bukan sahaja memerlukan penelitian terhadap data dan bukti, malah perlu mengambil kira aspek pelaksanaan, sumber, keutamaan semasa serta kesannya yang bukan sahaja kepada pembangunan sosioekonomi tetapi juga alam sekitar. Makmal Dasar 2026 menghimpunkan peserta dengan pengalaman, kepakaran, dan perspektif yang berbeza, namun berkongsi matlamat yang sama untuk menghasilkan dasar yang lebih baik berasaskan bukti dan keperluan sebenar. Kepelbagaian latar belakang peserta turut membuka ruang kepada pertukaran idea dan perbincangan silang sektor dalam memahami sesuatu isu dasar secara lebih menyeluruh.

Makmal dasar tersebut menampilkan dua pakar yang berpengalaman dalam pembangunan dasar, iaitu Profesor Emeritus IPPTN, USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Morshidi Sirat; dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia, Dr. Razul Ikmal Ramli.

Morshidi berkongsi pengalaman dan perspektif beliau, khususnya berkaitan pembangunan dasar dan pendidikan tinggi. Menurut beliau, “Dalam memperkukuh proses penggubalan dasar, kita memerlukan ‘broker pengetahuan’ yang berperanan sebagai ‘jambatan (bridge)’ antara pihak kementerian dan komuniti penyelidik. Fungsi penjambatan ini penting untuk merapatkan jurang antara keperluan pembuat dasar dengan pengetahuan yang dihasilkan melalui penyelidikan, supaya dapatan dapat diterjemahkan kepada input yang lebih relevan dan boleh dimanfaatkan dalam proses pembuatan dasar.”

Manakala Razul membimbing peserta dalam memahami konsep dasar, proses pembangunan kertas dasar serta hubungannya dengan penggubalan dasar awam. Beliau turut berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai proses penggubalan dasar di Malaysia serta kepentingan pendekatan berasaskan bukti (evidence-based policymaking). Dalam sesi tersebut, beberapa contoh kes tempatan diketengahkan bagi menunjukkan bagaimana hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada input yang menyokong pembentukan dasar yang lebih berkesan. Beliau juga membincangkan beberapa faktor yang menyebabkan dapatan dan penulisan akademik kadangkala kurang berjaya mempengaruhi pembuat dasar, termasuk aspek penyampaian, konteks serta kesesuaian bukti dengan keperluan semasa pembuat dasar.

Berbeza daripada program berbentuk perkongsian ilmu semata-mata, Makmal Dasar 2026 dilaksanakan melalui pendekatan praktikal di mana peserta bukan sahaja didedahkan kepada asas pembangunan kertas dasar, malah melalui sendiri proses mengenal pasti dan memahami isu, meneliti bukti, berbincang dalam kumpulan, membina hujah serta merangka cadangan dasar yang realistik dan boleh dilaksanakan. Pendekatan interaktif tersebut turut memberi ruang kepada peserta untuk bertanya, mencabar idea, berkongsi pengalaman dan menilai isu daripada pelbagai sudut pandang. Perbincangan secara terbuka dan aktif merupakan antara elemen penting dalam memastikan proses pembelajaran yang lebih bermakna sepanjang makmal berlangsung.

Melalui penganjuran program ini, peserta diharapkan bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran dalam menyediakan kertas dasar, malah memahami dengan lebih jelas bagaimana bukti, pengetahuan, dan pengalaman boleh diterjemahkan kepada cadangan yang mempunyai nilai kepada pembuat dasar serta akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat. Penganjuran Makmal Dasar 2026 turut mencerminkan komitmen IPPTN USM dan JPT dalam memperkukuh budaya penggubalan dasar berasaskan bukti serta menyediakan ruang kolaboratif yang menghubungkan penyelidik, pentadbir, pembuat dasar, dan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor awam serta ekosistem pendidikan tinggi.

Teks: Ahmad Firdaus Ahmad Shabudin, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), USM
Foto: IPPTN, USM