Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

MAHASISWA USM CEMERLANG DI PENTAS ANTARABANGSA: MOHAMAD ABBAS ISRUN RAIH TOP 5 FINALIST THE 12TH UTU AWARDS 2026

USM, PULAU PINANG · 25 September 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohamad Abbas Isrun, pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) atas pencapaian membanggakan sebagai Top 5 Finalist dalam The 12th UTU Awards 2026 International bagi kategori Innovative Product Based on Agro and Marine Industry yang berlangsung di Universitas Teuku Umar (UTU), Aceh, Indonesia.

Bertemakan “Step Up To Global: Inspiring Innovation for a Better Tomorrow”, The 12th UTU Awards 2026 merupakan pertandingan antarabangsa anjuran Universitas Teuku Umar yang menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengetengahkan idea, inovasi dan penyelesaian kreatif serta membina jaringan antara institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.

Edisi kali ini menghimpunkan seramai 75 finalis daripada 35 institusi pengajian tinggi melibatkan empat negara, iaitu Indonesia, Malaysia, Taiwan dan Kenya. Pertandingan tersebut merangkumi lima kategori, dengan setiap kategori menampilkan 15 finalis.

Malaysia diwakili oleh tiga finalis, terdiri daripada dua finalis dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan seorang finalis dari Universiti Sains Malaysia (USM), iaitu Mohamad Abbas Isrun.

Dalam pertandingan tersebut, Mohamad Abbas mengetengahkan inovasi prototaip sistem penyimpanan ikan berasaskan tenaga solar bagi kategori Innovative Product Based on Agro and Marine Industry. Inovasi ini mengintegrasikan beberapa komponen termasuk sistem penyejukan aktif, ruang penyimpanan berpenebat, pemantauan suhu masa nyata berasaskan Internet of Things (IoT), sistem penimbangan serta pengurusan tenaga solar.

Inovasi berkenaan dibangunkan sebagai usaha meneroka penyelesaian teknologi yang lebih praktikal dalam membantu proses penyimpanan hasil tangkapan ikan, khususnya bagi mengekalkan kualiti hasil laut selepas tangkapan di samping memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Projek ini merupakan hasil kolaborasi antara Mohamad Abbas Isrun dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Low Kuang Loon dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT). Kerjasama tersebut menggabungkan idea dan kepakaran dalam pembangunan inovasi berasaskan teknologi bagi sektor agro dan marin.

Sepanjang pertandingan berlangsung di Indonesia, Mohamad Abbas turut diiringi oleh Dr. Hafiz Hanafi selaku pegawai pengiring, yang memberikan bimbingan dan sokongan sepanjang penyertaan beliau. Persediaan dan penyertaan ke pertandingan ini turut mendapat bantuan serta sokongan daripada Puan Aishah.

Kejayaan Mohamad Abbas menempatkan diri sebagai Top 5 Finalist daripada 15 finalis dalam kategori Innovative Product Based on Agro and Marine Industry merupakan satu pencapaian membanggakan, sekali gus membawa nama Universiti Sains Malaysia dan Malaysia ke pentas antarabangsa.

Penyertaan ini turut membuka peluang kepada beliau untuk memperluas jaringan antarabangsa, bertukar idea bersama peserta daripada pelbagai institusi serta mengetengahkan kemampuan mahasiswa USM dalam menghasilkan inovasi yang mengaplikasikan sains dan teknologi kepada cabaran dunia sebenar.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen mahasiswa USM dalam meneroka bidang inovasi, membina jaringan kerjasama antarabangsa serta membawa idea dan kepakaran mahasiswa ke peringkat global.

Tahniah diucapkan kepada Mohamad Abbas Isrun atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus berkarya, berinovasi dan mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia serta Malaysia di persada dunia.

Teks & Foto: Mohamad Abbas Isrun, Pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Kajiahayat (PPSK), USM