LINK@USM 2026 HIMPUN 553 PESERTA, PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK UNIVERSITI-INDUSTRI
Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh kerjasama strategik bersama industri, agensi dan komuniti menerusi penganjuran sulung Hari Transformasi Libatsama Industri-Komuniti (LINK@USM 2026) yang menghimpunkan 553 peserta di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, baru-baru ini.
Program bertemakan Memacu Kerjasama, Menjana Impak itu menghimpunkan staf dan pelajar daripada lima pusat tanggungjawab iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), PP Sains Pergigian (PPSG), PP Sains Kesihatan (PPSK), Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) dan Hospital Pakar USM (HPUSM), bersama rakan industri, agensi, komuniti serta rakan strategik bagi meneroka peluang kerjasama yang dapat menghasilkan impak lebih besar kepada universiti dan masyarakat.
Penganjuran ini turut diperkukuh dengan penyampaian cek cura berjumlah keseluruhan RM2.94 juta daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), B. Braun Medical Industries Sdn Bhd dan HearET Medtech Sdn Bhd sebagai simbol sokongan terhadap jalinan kerjasama yang telah dan sedang dilaksanakan bersama USM dalam pelbagai bidang.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) USM, Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan Said. Hadir sama ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, ketua-ketua jabatan dan sebagainya.
Antara pengisian utama LINK@USM 2026 ialah forum bertajuk Memacu Kerjasama, Menjana Impak yang menampilkan empat panel industri, iaitu Naib Presiden Kanan, Projek, Kejuruteraan & Teknologi PETRONAS, Dato’ Ir. Ts. Mohd Yusri Mohamed Yusof, yang juga Ahli Panel Penasihat Komuniti/Industri (Industry/Community Advisory Panel – ICAP) PPSP.
Selain itu, barisan panelis turut menampilkan Ketua Cawangan Strategi, Bahagian Strategi dan Transformasi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Rozilla Muhammad (mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO); Ketua Pegawai Eksekutif Hannan Medispa Sdn. Bhd. merangkap Ahli ICAP PPSG, Profesor Adjung Dr. Mohd Hannan Mohd Yusof; serta Ketua Pegawai Eksekutif Arcadia Life Sciences Sdn. Bhd., Fadzhairi Abd Jabar.
Forum tersebut membincangkan potensi sinergi antara universiti dengan industri dalam menjana impak menerusi penyelidikan, pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran dan inovasi, selain meneliti strategi kerjasama, pembiayaan serta pemahaman terhadap keperluan dan kekuatan setiap pihak.
Dalam diskusi forum, barisan panelis turut berpandangan bahawa hubungan universiti-industri perlu diperkukuh melalui pendekatan yang lebih strategik, saling melengkapi dan berorientasikan impak. Kerjasama yang dirancang secara optimum berupaya menggalakkan perkongsian kepakaran, kemudahan dan sumber, sekali gus mengurangkan pertindihan serta memaksimumkan manfaat kepada semua pihak.
Pada masa yang sama, universiti perlu terus terbuka terhadap keperluan industri bagi memastikan kepakaran, penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan kekal relevan serta memberikan nilai kepada masyarakat dan sektor industri. Perbincangan turut merangkumi bidang kesihatan pekerjaan, sains hayat dan penyelidikan kanser, sekali gus mencerminkan kepelbagaian ruang kerjasama yang boleh diterokai antara universiti dengan industri.
Selain forum, program itu menyediakan platform kepada penyelidik USM untuk mengetengahkan idea dan potensi inovasi menerusi sesi pitching. Idea yang dibentangkan meliputi pelbagai bidang berkaitan sains kesihatan dan dinilai oleh barisan juri.
Sesi perkongsian oleh HearET Medtech Sdn Bhd dan B. Braun Medical Industries Sdn Bhd turut diadakan bagi memperkenalkan kepakaran serta operasi masing-masing, di samping berkongsi pengalaman dan asas jalinan kerjasama dengan USM.
Dalam perkembangan berkaitan, sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kampus Kesihatan USM dengan Malvest Group Sdn Bhd turut berlangsung bagi menyediakan landasan kepada pelaksanaan inisiatif dan aktiviti bersama secara lebih tersusun, khususnya dalam penyediaan penginapan berkualiti serta penyelesaian hospitaliti untuk komuniti kampus.
Sebanyak 12 reruai pameran yang melibatkan rakan industri, agensi dan komuniti turut memeriahkan program itu. Selain mempamerkan produk dan perkhidmatan, pameran berkenaan mengetengahkan impak libatsama universiti-industri kepada komuniti setempat, termasuk usaha memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi aktiviti keusahawanan inklusif.
Organisasi yang menyertai pameran tersebut ialah HearET Medtech, Brainey Sdn Bhd, Olive Jardin Sdn Bhd, Brego Life Sciences Sdn Bhd, OH Digital Solution Sdn Bhd, Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd, Imperia Asia International Sdn Bhd, ZS Vital Sdn Bhd, Everlife-Chemopharm Group, Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA), Pusat Transformasi OKU USM-MAIK dan Malvest Group Sdn Bhd. Aktiviti cabutan bertuah turut diadakan sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung reruai.
Penganjuran LINK@USM 2026 mencerminkan komitmen USM untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan industri dan agensi, selain memperluas jaringan libatsama yang dapat menyumbang secara berterusan kepada pembangunan penyelidikan, inovasi, bakat dan masyarakat.