Skip to main content

LIMPAS BAYU BORNEO 2.0 HIDUPKAN WARISAN BORNEO MELALUI SENI DAN KRAFTANGAN

 

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 3 September 2026

Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkenalkan kekayaan warisan dan pengetahuan tradisional masyarakat Borneo menerusi dua bengkel amali bersempena program Limpas Bayu Borneo 2.0.

Program dengan kerjasama Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Artisan Hub itu mengetengahkan Bengkel Eco Printing serta Bengkel Anyaman Tudung Duang Bajau Samah yang berlangsung di MGTF, USM.

Bengkel Eco Printing memberi peluang kepada peserta meneroka teknik menghasilkan corak semula jadi pada fabrik menggunakan bahan seperti bunga dan daun, sekali gus menghubungkan seni tekstil dengan alam sekitar.

Bengkel itu dikendalikan oleh Hu Ting dari College of Art and Design, Nanning University, Guangxi, China, yang membimbing peserta menghasilkan sendiri corak tekstil melalui penggunaan bahan semula jadi.

Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi pengalaman menghasilkan karya secara langsung, malah memperkenalkan peserta kepada amalan seni kreatif yang lebih mesra alam dan lestari.

Sementara itu, Bengkel Anyaman Tudung Duang Bajau Samah pula membawa peserta mengenali seni menghasilkan Tudung Duang, iaitu hiasan kepala tradisional yang mempunyai kaitan dengan warisan masyarakat Bajau Samah di Sabah.

Bengkel yang dikendalikan Pengurus Besar Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Mohd Kamaludin Mohd Daud itu memberi pendedahan mengenai teknik asas anyaman serta nilai budaya dan kemahiran di sebalik penghasilan Tudung Duang.

Melalui pengalaman menganyam secara langsung, peserta bukan sahaja dapat memahami proses penghasilan kraftangan berkenaan, malah didedahkan kepada kepentingan memelihara pengetahuan tradisional agar dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.

Kedua-dua bengkel tersebut melengkapi pendekatan Limpas Bayu Borneo 2.0 yang meneroka kepelbagaian warisan budaya Borneo melalui gabungan penyelidikan, seni dan pengetahuan komuniti.

Penganjuran Limpas Bayu Borneo 2.0 sekali gus memperkukuh peranan MGTF sebagai platform yang menghubungkan seni, penyelidikan, warisan budaya dan pengetahuan masyarakat dalam meningkatkan penghargaan terhadap tradisi serta amalan kreatif Borneo yang terus hidup hingga kini.

Teks: Anis Solehah Zulkifli, Intern@MPRC, USM
Foto: Azizi Yahya, Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM