LEGASI DISEMAI, SINERGI DITUAI: PERSATUAN ALUMNI USM PERKUKUH JARINGAN
Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Alumni USM dalam satu pertemuan strategik yang menjadi platform memperkenalkan barisan kepimpinan baharu persatuan bagi sesi 2026 hingga 2028 di samping memperkukuh jalinan kerjasama antara alumni, universiti, industri dan masyarakat.
Pertemuan ini turut memberi tumpuan kepada hala tuju serta objektif persatuan sebagai sebuah medium yang menghubungkan komuniti alumni dengan universiti dan pelbagai pihak berkepentingan.
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Persidangan Canselori (CCR) itu dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc., yang menyambut baik usaha Persatuan Alumni USM dalam memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik universiti. Perbincangan ini turut menekankan kepentingan hubungan alumni dalam menyokong pembangunan mahasiswa.
Presiden Persatuan Alumni USM, Ir. Ts. Kamarul Badlishah Kamarulzaman turut membentangkan hala tuju serta beberapa inisiatif utama persatuan yang memberi penekanan kepada kebajikan dan pembangunan mahasiswa, khususnya dalam membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.
Antara program yang dicadangkan termasuk Program Alumni Kembali ke USM dan CEO Talk yang berpotensi menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan, perkongsian pengalaman serta jaringan profesional.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen bersama USM dan Persatuan Alumni USM dalam menghubungkan legasi alumni dengan aspirasi generasi mahasiswa sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada warga universiti dan masyarakat. Jalinan ini diharapkan dapat terus diperkasa sebagai pemangkin kepada pembangunan mahasiswa serta kebajikan pelajar.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM, Prof. Dr. Habibah A. Wahab; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, Prof. Dato’ Dr. Azlan Amran, serta Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim.