KWD11 PSSCM IPT SATUKAN 42 KONTINJEN, SEMARAK SEMANGAT WAJA DIRI DI USM
KWD11 PSSCM IPT SATUKAN 42 KONTINJEN, SEMARAK SEMANGAT WAJA DIRI DI USM
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia (PSSCMUSM) menganjurkan Kejohanan Waja Diri PSSCM IPT & Jemputan Kali Ke-11 (KWD11) pada 7 hingga 8 Ogos 2026 di Arena Sukan USM Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM), yang menghimpunkan 28 pasukan IPT terdiri daripada 15 pasukan Putera dan 13 pasukan Puteri serta 14 pasukan jemputan daripada cawangan-cawangan PSSCM.
Kejohanan ini menjadi medan peserta memperlihatkan keupayaan, disiplin dan semangat waja diri, selain memperkukuh silaturahim dan persaudaraan dalam kalangan ahli PSSCM serta menyemarakkan kecintaan terhadap Seni Silat Cekak Malaysia dan warisan budaya Melayu. Program dimulakan pada 7 Ogos dengan pendaftaran pasukan dan juri, raptai majlis perasmian serta taklimat pertandingan kepada pengurus pasukan dan juri.
Majlis Perasmian KWD11 disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dan turut dihadiri Guru Utama dan Presiden PSSCM, Yang Mulia Datuk Haji Maideen Kadir Shah.
Majlis turut menyaksikan Upacara Perasmian Pelancaran Sambutan 50 Tahun Jubli Emas PSSCMUSM, Prapelancaran Jubli Emas PSSCM Cawangan Pulau Pinang (PSSCMCPP) serta KWD11, selain perarakan masuk piala pusingan dan Istiadat Penzahiran KWD11.
Majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan demonstrasi khas PSSCM yang memperlihatkan keunikan dan keindahan Seni Silat Cekak Malaysia, selain penyampaian hadiah bagi pertandingan sampingan yang dianjurkan sempena KWD11.
Dalam pertandingan sampingan tersebut, PSSCM Politeknik Ungku Omar muncul juara Pertandingan Poster Pasukan, manakala PSSCM Cawangan Terengganu memenangi Pertandingan Video Teaser dan PSSCM Universiti Sultan Zainal Abidin muncul juara Pertandingan Tontonan Tertinggi di TikTok. Keputusan penuh pertandingan sampingan disenaraikan di bahagian keputusan di bawah.
Pada 8 Ogos, kejohanan diteruskan dengan pertandingan Kategori 1 dan Kategori 2, melibatkan kategori IPT dan jemputan, sebelum diteruskan dengan Kategori 3 dan Kategori 4 bagi kedua-dua kategori. Penyampaian hadiah kepada pemenang tempat keempat dan kelima bagi setiap kategori turut diadakan pada sebelah petang sebagai penghargaan kepada para peserta.
Majlis Penutup KWD11 pula telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim.
Kemuncak majlis penutup menyaksikan pengumuman pemenang keseluruhan KWD11, diikuti penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang. Keputusan keseluruhan bagi kategori IPT Putera, IPT Puteri dan Jemputan disenaraikan secara berasingan untuk rujukan.
Majlis penutup turut menyaksikan Istiadat Penyerahan Semula Amanah Penganjuran KWD11, sebelum diteruskan dengan persembahan demonstrasi oleh juara KWD11 bagi kategori IPT Putera dan diakhiri dengan sesi fotografi serta bersurai.
Penganjuran KWD11 bukan sahaja menjadi medan pertandingan bagi menguji keupayaan dan kemahiran peserta, malah menjadi wadah memupuk waja diri, disiplin, kerjasama, persaudaraan dan semangat kesukanan, di samping memperkukuh hubungan antara PSSCM di IPT dan cawangan-cawangan PSSCM di seluruh negara.
Kejohanan ini diharapkan terus memperkasakan Seni Silat Cekak Malaysia serta menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap seni mempertahankan diri dan warisan budaya Melayu. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah dirakamkan kepada tenaga pengajar, peserta, juri, kontinjen, tetamu kehormat, penaja dan jawatankuasa pengurusan KWD11 atas komitmen, kerjasama dan usaha memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar dan jayanya.
Johan Keseluruhan: PSSCM UNIKL MIAT
Naib Johan: PSSCM UMK Kampus Kota
Tempat Ketiga: PSSCM UAIM
Johan Keseluruhan: PSSCM USAS
Naib Johan: PSSCM USM Kampus Induk
Tempat Ketiga: PSSCM USM Kampus Kesihatan
Johan Keseluruhan: PSSCM Cawangan Terengganu
Naib Johan: PSSCM Cawangan Kedah
Tempat Ketiga: PSSCM Cawangan Ibu Pejabat
Johan: PSSCM Politeknik Ungku Omar
Naib Johan: PSSCM Cawangan Johor
Tempat Ketiga: PSSCM Cawangan Kelantan
Johan: PSSCM Cawangan Terengganu
Naib Johan: PSSCM USM Kampus Induk & Cawangan Pulau Pinang
Tempat Ketiga: PSSCM Universiti Sultan Azlan Shah
Johan: PSSCM Universiti Sultan Zainal Abidin
Tempat Kedua: PSSCM Cawangan Kelantan
Tempat Ketiga: PSSCM Cawangan Terengganu