Skip to main content

KUMPULAN KESENIAN ADIKARMA USM HARUMKAN NAMA UNIVERSITI DI BANGKOK MENERUSI RASA MALAYSIA 2026

 

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 28 September 2026

Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengharumkan nama universiti apabila mempersembahkan kepelbagaian seni dan warisan budaya Malaysia dalam program Malaysia Fair: RASA Malaysia 2026 di Kawasan Bersejarah Song Wat, Bangkok, Thailand, dari 19 hingga 20 September 2026.

Bersempana Majlis Penutup KL-Bangkok Unity Ride 2026 – Sambutan Hari Malaysia, persembahan oleh Adikarma yang mempamerkan tarian perpaduan, zapin, joget, dan canggung itu disaksikan secara langsung oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Penyertaan seramai enam ahli Kumpulan Kesenian Adikarma bersama Dewan Budaya USM tersebut adalah atas jemputan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Perlis yang bertindak sebagai penyelaras delegasi Malaysia, dengan kerjasama strategik Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Program yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 ini bertujuan mempromosikan seni, budaya warisan, makanan, serta gaya hidup Malaysia kepada komuniti antarabangsa dan pelancong di Bangkok.

Turut hadir menjayakan misi kebudayaan ini ialah wakil pengurusan USM, termasuk Ahmad Assahirin Hamlet sebagai koreografer dari Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA); Andy Siti Nurhidayah Rahim selaku Artis Persembahan, serta Zul Ikhwan Aziz selaku Pengarah Videografi dari Dewan Budaya USM.

Penyertaan di pentas antarabangsa ini bukan sahaja mengetengahkan bakat mahasiswa USM, malah memperkukuh peranan mereka sebagai duta kecil yang memartabatkan warisan budaya negara ke persada global.

Teks & Foto: Kumpulan Kesenian ADIKARMA, USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM