Skip to main content

Konvokesyen Ke-64 USM Buka Tirai, Tuanku Canselor Seru Graduan Tabur Bakti kepada Negara

PULAU PINANG, 24 November 2026 – Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, telah berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama, Upacara Konvokesyen ke-64 USM di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) pada pagi ini.

Turut berangkat bersama ialah DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berkenan berangkat ialah DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ketibaan Tuanku Canselor disambut dengan tabik hormat diraja oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USM, diiringi lagu negeri Perlis, Amin Amin Ya Rabaljalil, dan Negaraku.

Di upacara tersebut, Baginda telah mengurniakan anugerah gelaran Profesor Emeritus kepada Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, dan Profesor Emerita kepada Dr. Tan Sooi Beng dari Pusat Pengajian Seni.

Seterusnya, Baginda Tuanku Canselor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 16 graduan sulung bagi enam program baharu peringkat Sarjana, di samping penerima Pingat Emas Canselor, iaitu pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan.

Baginda dalam titahnya berpesan kepada para graduan agar terus menghargai pengorbanan ibubapa masing-masing, serta ahli keluarga dan juga para pendidik. Ilmu yang telah diperolehi juga perlu dimanfaatkan dengan berbakti kepada masyarakat dan negara.

Titah Baginda lagi, penghargaan juga diberi kepada pihak USM atas usaha membantu golongan kurang berkemampuan melalui program Siswa SULUNG.

Ujar Baginda, ini adalah satu cara di mana pendidikan berupaya mengubah kehidupan dan masa depan seseorang, dan juga keluarga serta generasi akan datang.

Program Siswa SULUNG USM merupakan inisiatif yang dilaksanakan selaras dengan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membantu pelajar daripada keluarga B40 yang merupakan generasi pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Di akhir majlis, Baginda mengucapkan tahniah kepada hampir 9,000 graduan yang akan menerima ijazah-ijazah masing-masing.

Titah Baginda, “Segulung ijazah bukanlah pengakhiran perjalanan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.”

“Jadilah insan yang berjaya tanpa melupakan asal usul, berilmu tanpa meninggi diri dan sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat,” titah Baginda lagi.

Baginda juga mendoakan agar kesemua graduan terus berjaya serta menjadi insan yang berupaya menyumbang kepada agama, bangsa, dan negara.

Terdahulu Baginda turut berkenan menyampaikan Watikah Pemasyhuran kepada dua Pro-Canselor yang dilantik semula, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan (15 Julai 2026 hingga 14 Julai 2028) dan Academician Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali (19 September 2026 hingga 18 September 2028).

Hadir bersama pada Sidang Pertama adalah kerabat diraja Perlis, Pro-pro Canselor USM, barisan tertinggi kepimpinan USM, para kenamaan, wakil-wakil universiti, serta para jemputan khas.

Upacara Konvokesyen ke-64 USM bermula hari ini dan akan berlangsung hingga 1 Disember 2026, membabitkan 14 sidang penganugerahan ijazah kepada graduan pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

Teks:Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe
Foto: Mohd Fairus Md Isa, Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq & Shahnizam Ab Rahim, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab