KONVENSYEN FALAK PERKUKUH GABUNGAN SAINS DAN SYARIAH, USM DAN JABATAN MUFTI METERAI MOU
Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang falak menerusi gabungan kepakaran sains, teknologi, akademik dan syariah.
Pemeteraian MoU itu berlangsung pada Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang dianjurkan JMNPP dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Fizik USM di Dewan Utama Pelajar, USM, pada pertengahan Oktober lalu.
Konvensyen bertemakan “Falak Dalam Kehidupan” itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Profesor Madya Dato' Dr. Mohd Sukki Othman.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor USM dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dengan disaksikan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti akademik bersama dalam bidang falak, termasuk penentuan waktu solat, arah kiblat dan kalendar Hijrah berasaskan pendekatan saintifik, teknologi dan syariah.
Selain itu, kedua-dua institusi akan bekerjasama menganjurkan program akademik dan libat urus awam seperti konvensyen, seminar, bengkel serta latihan, selain menyebarluaskan hasil penyelidikan berkaitan bidang berkenaan.
Mohamad dalam ucapan perasmiannya berkata, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu falak semakin meningkat. Jelas beliau, ilmu falak bukan sekadar berkaitan pengiraan waktu solat dan cerapan anak bulan, malah mempunyai hubungan dengan bidang lain seperti pertanian dan perikanan yang wajar difahami masyarakat.
Mengulas kerjasama USM dan JMNPP, Abdul Rahman pula berkata, MoU itu menjadi asas kepada kerjasama yang lebih tersusun dan berterusan antara kedua-dua institusi. Beliau turut menzahirkan keyakinan gabungan kepakaran keislaman JMNPP dengan kepakaran saintifik USM mampu memberikan manfaat kepada pembangunan ilmu falak di Pulau Pinang.
Menerusi kerjasama itu, Pusat Pengajian Sains Fizik USM turut berperanan memperkukuh penyelidikan falak dan astronomi, cerapan anak bulan, perkongsian data saintifik, pembangunan kepakaran serta program pendidikan dan kesedaran awam.
Konvensyen itu turut menyaksikan pelancaran Jurnal Syeikh Abdullah Fahim (JUSAF), platform penerbitan ilmiah baharu yang dijangka memperluas penyebaran hasil penyelidikan falak dan bidang berkaitan.
Sepanjang dua hari penganjuran, konvensyen berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang mengikuti pelbagai pengisian, termasuk simposium, pembentangan kertas kerja oleh pakar dan ahli akademik, bengkel, forum serta pertandingan.
Program itu turut menarik kira-kira 2,000 pengunjung, khususnya pelajar institusi pendidikan, menerusi pelbagai aktiviti seperti pameran saintifik dan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), cerapan falak, planetarium mudah alih serta pelancaran roket air.
Penyelaras Utama Jawatankuasa Pelaksana (LOC) dari USM, Dr. Idahwati Sarudin, yang juga pensyarah bidang astronomi dan sains angkasa di Pusat Pengajian Sains Fizik, turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Langit di Era Sains Angkasa: Cabaran Pencemaran Cahaya, Gangguan Plasma & Aktiviti Matahari Terhadap Cerapan dan Navigasi Falak”.
Penganjuran konvensyen itu mendapat sokongan beberapa agensi kerajaan, termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Pulau Pinang, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Turut terlibat ialah Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang dan Sahabat Langit Utara (SALUT).
Konvensyen itu menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan falak terkini, selain meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingannya dalam kehidupan seharian, memperluas jaringan kerjasama antara agensi serta memperkukuh peranan Pusat Falak Sheikh Tahir sebagai pusat rujukan falak negeri.