KONTINJEN PERBARISAN USM SERLAH SEMANGAT PATRIOTIK DALAM SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE‑69 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 1 September 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menyerlahkan semangat patriotik apabila seramai 47 warga staf dari Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin tampil menyertai kontinjen perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke‑69 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Padang Kota Lama kelmarin.
Kehadiran kontinjen USM menambahkan kemeriahan sambutan yang turut disertai pelbagai pasukan kawad kaki, pancaragam, dan kontinjen kenderaan yang memenuhi laluan perbarisan.
Menampilkan konsep pahlawan, kontinjen USM tampil dengan busana yang menggabungkan warna dan identiti bendera Pulau Pinang dan Jalur Gemilang, melambangkan keberanian, semangat juang dan kecintaan terhadap negeri dan negara.
Penyertaan ini bukan sahaja memperkukuh penghayatan warga universiti terhadap sambutan Hari Kebangsaan, malah memberi peluang kepada staf untuk bersama‑sama masyarakat meraikan detik penting dalam sejarah negara.
Kontinjen perbarisan ini diselaras oleh Mohamad Shafieq Ishak, Pegawai Psikologi, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, dengan sokongan padu daripada staf Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf serta Unit Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.
Persediaan rapi turut dijalankan sepanjang bulan Ogos melalui sesi latihan dan raptai bagi memastikan setiap anggota bersedia tampil dengan penuh disiplin dan semangat.
Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen warga staf yang sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk menyertai kontinjen perbarisan.
“Penglibatan ini mencerminkan semangat juang dan kecintaan warga USM terhadap negara. Ia bukan sekadar penyertaan simbolik, tetapi satu manifestasi kesungguhan universiti dalam menyemarakkan semangat patriotisme,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kontinjen perbarisan tahun ini.
“Saya amat menghargai usaha dan kerjasama yang ditunjukkan oleh Bahagian Sumber Manusia serta semua staf yang terlibat. Semangat kebersamaan ini menjadi bukti bahawa warga USM sentiasa bersatu hati dalam menjunjung nilai patriotisme dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat,” tambahnya.
Bagi warga staf yang menyertai kontinjen pada tahun ini, penglibatan tersebut menjadi pengalaman bermakna untuk menzahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia dan warga USM. Ia sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh hubungan erat antara warga kampus dan masyarakat setempat.