KOMITMEN NASIONAL, TINDAKAN DI BILIK DARJAH: EDURISE 3M SOKONG 262 MURID DI PULAU PINANG
Komitmen nasional terhadap peluang pendidikan diterjemahkan kepada sokongan pembelajaran secara bersasar kepada 262 murid Tahun 2 di 13 buah sekolah di Pulau Pinang menerusi EduRise 3M, iaitu satu intervensi yang memberi tumpuan kepada penguasaan asas membaca, menulis dan mengira.
Dilaksanakan di bawah Program Anak Kita 2026, EduRise 3M melengkapi usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang lebih menyeluruh dalam memperkukuh pembelajaran asas.
Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan dasar pendidikan dan hala tuju pedagogi, manakala Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta sekolah yang terlibat menyokong pelaksanaan program pada peringkat negeri dan sekolah.
Unit Pantau MADANI di bawah Jabatan Perdana Menteri menyelaras dan memantau inisiatif nasional ini; Yayasan Hasanah menyediakan pengurusan program, pembiayaan dan pemantauan pelaksanaan; manakala Universiti Sains Malaysia (USM) berperanan sebagai rakan pelaksana EduRise 3M di Pulau Pinang.
Dilancarkan di peringkat nasional pada September 2024, Program Anak Kita menghimpunkan agensi kerajaan, universiti awam, organisasi masyarakat sivil dan rakan pendidikan bagi menangani jurang pembelajaran serta halangan terhadap penyertaan dalam pendidikan.
Pelaksanaan sulung EduRise 3M di Pulau Pinang pada tahun 2026 memperluas komitmen nasional ini menerusi intervensi berfokus untuk murid Tahun 2 yang memerlukan sokongan pembelajaran tambahan.
Satu kunjungan pemantauan ke SK St. Xavier dan SK Sungai Gelugor menyerlahkan kerjasama antara pihak yang terlibat. Wakil Unit Pantau MADANI, Yayasan Hasanah, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang meninjau pelaksanaan di bilik darjah, meneliti bukti program serta membincangkan keadaan yang diperlukan bagi memastikan kemajuan murid dapat dikekalkan.
EduRise 3M mengamalkan pendekatan responsif dengan mengenal pasti perkara yang telah dikuasai oleh setiap murid, menyediakan sokongan yang bersesuaian dan menggunakan bukti bagi menentukan langkah pengajaran seterusnya.
Aktiviti literasi menggunakan pendekatan fonik, penyahkodan suku kata, pengecaman perkataan secara keseluruhan, perkataan asas yang kerap digunakan (sight words), pembacaan ayat dan petikan pendek. Sumber Bahasa Melayu yang mengandungi 200 perkataan pula membantu memperkukuh kosa kata dan automasi pengecaman perkataan, manakala aktiviti Matematik secara amali menggabungkan pergerakan, kerjasama, penaakulan dan penyelesaian masalah.
Prinsip program “Connection before Correction” atau “Hubungan sebelum Pembetulan” meletakkan kepercayaan, keselamatan emosi dan keyakinan murid seiring dengan pengajaran akademik.
Bengkel untuk ibu bapa menyediakan panduan praktikal mengenai rutin pembelajaran di rumah yang mudah dilaksanakan, manakala Smart Bag Pack memperluas pembelajaran melalui aktiviti hujung minggu yang boleh dilaksanakan bersama oleh murid dan keluarga.
Guru dan Jurulatih 3M turut mengikuti pembelajaran profesional serta sesi semakan kolaboratif secara berkala. Rekod kehadiran, hasil kerja murid, semakan penguasaan, pemerhatian di bilik darjah dan penilaian berkala menjadi pelbagai sumber bukti bagi mengenal pasti jurang pembelajaran dan menambah baik sokongan yang diberikan.
Kepekaan terhadap keperluan bilik darjah disokong pula dengan akauntabiliti program. Pengurusan program dan proses pelaporan berasaskan peringkat peruntukan (tranche-based reporting) oleh Yayasan Hasanah menyediakan mekanisme pemantauan yang tersusun terhadap pelaksanaan, perbelanjaan dan kemajuan program.
Penyelarasan dan pemantauan oleh Unit Pantau MADANI, bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan sekolah yang terlibat, turut menyokong penjajaran program dengan objektif yang dipersetujui, keutamaan pendidikan serta keperluan murid.
Pemerhatian awal di bilik darjah menunjukkan penyertaan yang menggalakkan dalam sesi bimbingan dan aktiviti pembelajaran interaktif. Perkembangan positif dari segi penglibatan ini melengkapi penilaian literasi dan numerasi yang sedang dilaksanakan bagi memantau kemajuan pembelajaran secara berterusan.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menyatakan sokongan terhadap inisiatif tersebut dan merakamkan tahniah kepada pasukan EduRise 3M, barisan kepimpinan sekolah, guru serta jurulatih atas usaha dan komitmen yang dicurahkan. Beliau mengiktiraf komitmen bersama mereka dalam menterjemahkan pengetahuan pendidikan kepada sokongan praktikal dan bermakna untuk kanak-kanak yang paling memerlukannya.
EduRise 3M membuktikan bahawa apabila komitmen nasional, kepakaran pendidikan dan tindakan di peringkat tempatan diselaraskan, manfaat yang nyata dapat diwujudkan: kanak-kanak menerima sokongan yang disasarkan, pendidik memperkukuh amalan pengajaran dan keluarga menjadi rakan aktif dalam pembelajaran.