Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

KERJASAMA USM–UIN AR-RANIRY: MAHASISWA SANTUNI KOMUNITI DAN BINA WAWASAN GLOBAL DI KAMPUNG KUALA MENGKUANG

PULAU PINANG · 30 September 2026

Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan libatsama komuniti menerusi penganjuran Program Khidmat Komuniti dan Mobiliti Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Kampung Kuala Mengkuang, Bukit Mertajam.

Program hasil inisiatif strategik antara Bahagian Pengajian Islam, PPIK USM dengan Fakultas Dakwah dan Komunikasi, Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh tersebut menggabungkan elemen mobiliti akademik, pembelajaran berasaskan komuniti (SULAM) dan tanggungjawab sosial universiti dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berwawasan global serta prihatin terhadap masyarakat.

Program dimulakan dengan sesi suai kenal dan penyerahan mahasiswa UIN Ar-Raniry kepada keluarga angkat di Dewan Kampung Kuala Mengkuang. Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat memberi peluang kepada peserta mendalami budaya tempatan serta merasai sendiri kehidupan masyarakat luar bandar di Malaysia.

Sepanjang program berlangsung, peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan lapangan yang dirangka bagi memperluas pengalaman pembelajaran mereka. Antaranya ialah program pengalaman pengajaran di Kelas KAFA Sekolah Rendah Agama Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Guar Perahu yang membolehkan mahasiswa berkongsi ilmu serta memahami pendekatan pendidikan Islam di peringkat akar umbi.

Bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan dan amalan pendidikan Islam rentas negara, peserta juga dibawa mengadakan lawatan akademik ke Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU), Kubang Semang. Lawatan tersebut membuka ruang perbincangan mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan institusi pendidikan Islam.

Dalam usaha menyediakan pendedahan yang holistik kepada peserta, program turut merangkumi lawatan sambil belajar ke Kampus Satelit CIAST, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas. Lawatan ini memberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi digital dan Generative AI, selaras dengan keperluan semasa dunia pendidikan serta revolusi teknologi global.

Sebagai sebahagian daripada komponen khidmat komuniti, peserta terlibat dalam sesi perkongsian ilmu berkaitan pengimarahan masjid dan aktiviti kebajikan bersama masyarakat setempat. Program tersebut diserikan dengan penyerahan bakul makanan kepada warga emas, keluarga angkat dan ahli Komuniti MADANI di Masjid Ittifaqiyyah sebagai manifestasi keprihatinan sosial serta semangat kesukarelawanan yang diterapkan oleh USM.

Bagi mengeratkan hubungan antara peserta dan komuniti setempat, pelbagai aktiviti rekreasi turut dianjurkan. Antaranya termasuk aktiviti memanah bersama Kuala Mengkuang Archery Club (KMAC) yang berjaya memupuk semangat kerjasama, persahabatan, dan saling memahami antara peserta antarabangsa dengan penduduk kampung.

Peserta juga berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi Kampung Kuala Mengkuang menerusi aktiviti Echo Ride, iaitu kayuhan basikal yang menyelusuri laluan kampung hingga ke kawasan Labuh Banting. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan gaya hidup desa yang lestari, malah meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan peserta.

Penganjuran program tersebut jelas mencerminkan komitmen berterusan PPIK USM dalam merealisasikan aspirasi USM APEX melalui pengukuhan jaringan antarabangsa, pemerkasaan pembelajaran berasaskan pengalaman, serta pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan.

Majlis penutupan program yang berlangsung di Dewan Kampung Kuala Mengkuang melabuhkan tirainya dengan seribu kenangan bermakna antara peserta dan keluarga angkat yang telah menjadi sebahagian daripada pengalaman berharga mereka sepanjang program berlangsung.

Suasana penuh emosi turut mengiringi sesi pelepasan delegasi mahasiswa UIN Ar-Raniry di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum mereka berangkat pulang ke Aceh, sekali gus menandakan berakhirnya sebuah jalinan kerjasama akademik dan persahabatan yang merentas sempadan.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), USM
Suntingan: Tan Ewe Hoe