KULIM, KEDAH, 5 September 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya terhadap kebajikan dan kesejahteraan siswa apabila Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, turun padang menyantuni siswa SULUNG, Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, serta keluarganya di Kulim, Kedah, petang ini.
Kunjungan tersebut memberi peluang kepada Naib Canselor untuk melihat sendiri keadaan keluarga dan mendengar situasi serta cabaran yang dihadapi Adam Iskandar dalam meneruskan pengajian di USM, khususnya selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.
Adam Iskandar merupakan anak sulung daripada empat beradik dan menerima tawaran untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.
Program Siswa SULUNG merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diperkenalkan pada tahun 2022 bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada mahasiswa daripada keluarga B40, khususnya mereka yang merupakan generasi pertama dalam keluarga untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
Di USM, program ini mula dilaksanakan pada tahun 2023 sebagai salah satu usaha universiti menyokong aspirasi tersebut dengan menyediakan peluang serta sokongan yang sewajarnya kepada mahasiswa daripada latar belakang keluarga yang memerlukan.
Selepas kehilangan bapanya pada tahun 2021 dan ibunya pada 24 Ogos lalu, Adam Iskandar kini memikul tanggungjawab besar sebagai anak sulung dalam keluarga, selain mempunyai dua adik yang masih bersekolah termasuk seorang adik bongsu OKU fizikal yang memerlukan perhatian serta penjagaan khusus.
Dalam kunjungan tersebut, Naib Canselor turut menyampaikan surat tawaran Program SULUNG 4.0 dan kit keperluan kepada Adam Iskandar sebagai tanda sokongan universiti, selain menyatakan kesediaan USM untuk membantu keperluan berkaitan pengajian dan kebajikannya sepanjang berada di universiti.
Menurut Naib Canselor, USM tidak mahu kekangan ekonomi atau masalah keluarga menjadi penghalang kepada mana-mana siswa untuk meneruskan pengajian dan mencapai cita-cita mereka.
“Kita tidak mahu kemiskinan menghalang pelajar daripada menyambung pengajian. Pendidikan boleh mengatasi masalah kemiskinan, dan apa sahaja keperluan yang bersesuaian, USM akan cuba bantu supaya pelajar dapat meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, bantuan yang diberikan bukan sahaja tertumpu kepada keperluan pembelajaran, malah USM bersedia membantu dari aspek lain yang diperlukan, termasuk menyediakan urusan pendaftaran dan kemudahan pengangkutan bagi memastikan siswa dapat memulakan serta meneruskan pengajian tanpa dibebani kekangan yang boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap pengajian.
“Kalau ada sebarang masalah, maklumkan kepada USM. Kita tidak mahu kekangan yang dihadapi keluarga menjadi masalah kepada pelajar. Apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu,” katanya.
Naib Canselor turut menzahirkan rasa kagum terhadap ketabahan dan semangat Adam Iskandar dalam meneruskan pengajian walaupun berdepan ujian besar dalam kehidupan, selain berharap perjalanan beliau dapat menjadi sumber inspirasi kepada adik-adiknya untuk turut mengejar pendidikan tinggi.
“Adam Iskandar memang seorang yang hebat dan kuat semangat. Adik-adiknya boleh melihat perjalanan beliau sebagai motivasi bahawa pendidikan mampu membuka peluang dan mengubah kehidupan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, USM turut mengambil berat terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan adik-beradik Adam Iskandar dengan menyatakan kesediaan untuk membantu mendapatkan pemeriksaan atau rawatan yang bersesuaian sekiranya diperlukan melalui kemudahan kesihatan yang tersedia di universiti.
Program Pembangunan Siswa SULUNG 4.0 (Program SULUNG 4.0) bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek kewangan dan kebajikan, malah turut menyokong pembangunan akademik, sahsiah, kepimpinan, dan kebolehpasaran siswa supaya mereka mampu membina masa depan yang lebih baik serta menjadi pencetus kepada generasi seterusnya dalam keluarga untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Bagi Sidang Akademik 2026/2027, seramai 965 pelajar sedang mengikuti pengajian di USM di bawah Program SULUNG 4.0, manakala 216 pelajar bagi kemasukan baharu telah dikenal pasti memenuhi syarat kelayakan untuk dipertimbangkan di bawah program tersebut.
Dengan siling kuota semasa sebanyak 1,000 pelajar, jumlah pelajar yang dikenal pasti layak bagi kemasukan baharu menunjukkan keperluan untuk memperluas kapasiti program.
Sehubungan itu, USM mengambil langkah untuk meningkatkan siling kuota Program SULUNG 4.0 kepada 1,200 pelajar bagi Sidang Akademik 2026/2027, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai pelajar yang layak dan memerlukan untuk dipertimbangkan menerima manfaat program.
Langkah tersebut mencerminkan komitmen USM untuk memastikan faktor sosioekonomi dan cabaran keluarga tidak menjadi penghalang kepada pelajar berpotensi untuk mendapatkan pendidikan tinggi, selaras dengan aspirasi universiti dalam menyediakan peluang pendidikan yang lebih inklusif, saksama, dan berteraskan kebajikan siswa.
Kunjungan ini turut disertai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Ketua Pentadbir Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Siti Aishah Abdul Raffar; Ketua Unit Kebajikan BHEPA, Siti Meszaida Mohd Ehsan; serta pegawai-pegawai BHEPA USM.