Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

KEE QIU LING UNGGULI SOCIAL MEDIA INFLUENCER AWARD, NEXTMILE USM ANTARA 12 TERBAIK PBCSC 2026

PULAU PINANG · 26 Oktober 2026

Mahasiswa tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia (USM), Kee Qiu Ling, mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara kategori Social Media Influencer Award dalam pertandingan PROTON Business Case Study Challenge (PBCSC) 2026 yang berlangsung di Zenith Hotel, Putrajaya baru-baru ini.

Kejayaan tersebut turut dilengkapkan dengan pencapaian pasukan NextMILE USM yang dianggotai beliau bersama Darren Tong Kai Xuan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan Colin Hoh Rui Rong dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 pasukan terbaik daripada 56 pasukan yang mewakili 33 universiti di seluruh negara.

PBCSC 2026 merupakan pertandingan kajian kes perniagaan peringkat kebangsaan anjuran PROTON dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang menyediakan platform kepada mahasiswa tahun akhir untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik, mengetengahkan idea inovatif serta merangka penyelesaian kreatif bagi menangani cabaran sebenar dalam dunia perniagaan dan industri automotif.

Sebelum mara ke pusingan fizikal, pasukan NextMILE berjaya melepasi saringan awal secara dalam talian dan terpilih sebagai antara 18 pasukan terbaik. Sepanjang pertandingan, mereka diiringi oleh Nur 'Aqila Badrul Hisham, Pegawai Tadbir, Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM.

Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Dr. Kasuma Satria, Ketua Pegawai Sumber Manusia PROTON Malaysia. Pertandingan tersebut turut dinilai oleh panel yang terdiri daripada tokoh industri dan akademia, termasuk Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram Mohd Rashid, Pengarah Centre for Automotive Engineering, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah serta Ir. Dr. Mohd Azman Abas, Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii).

Kejayaan yang diraih membuktikan keupayaan mahasiswa USM untuk bersaing dan menyerlah di platform berprestij peringkat kebangsaan melalui gabungan pemikiran strategik, kreativiti serta kemahiran profesional yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Pencapaian tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan USM dalam melahirkan graduan H.E.B.A.T. yang holistik, seimbang dan berdaya saing, berteraskan kecemerlangan akademik, pemikiran inovatif, nilai kepimpinan serta keupayaan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat, industri, dan negara.

Seluruh warga BHEPA, USM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan NextMILE, khususnya Kee Qiu Ling, atas kejayaan membanggakan ini yang sekali gus mengharumkan nama universiti dan membuktikan potensi mahasiswa USM sebagai graduan H.E.B.A.T. yang mampu menyerlah di peringkat kebangsaan.

Teks & Foto: Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA, USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM