Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

KEDAH TUA TERBITAN PENERBIT USM MENANGI HADIAH BAHASA PUBLIC BANK–DBP 2025

PULAU PINANG · 9 Oktober 2026

Buku Kedah Tua: Sejarah, Arkeologi & Naratif Baharu, terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah imprin USM Popular dengan kerjasama Think City, memenangi Hadiah Bahasa Public Bank–Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025 bagi Kategori A: Hadiah Karya (Buku).

Buku tulisan Profesor Madya Dr. Nasha Rodziadi Khaw, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun dan Dr. Suresh Narayanen itu merupakan salah satu daripada lima buku pemenang dalam kategori tersebut. Karya berkenaan menerima hadiah bernilai RM10,000 pada majlis penyampaian yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, baru-baru ini.

Pengarah Penerbit USM, Profesor Dr. Goh Sang Seong berkata, kemenangan ini menjadi pencapaian penting bagi USM Popular, imprin baharu Penerbit USM yang menumpukan penerbitan buku bacaan umum.

“Buku ini membawa penyelidikan sejarah dan arkeologi kepada masyarakat melalui pengolahan kandungan dan persembahan visual yang membantu pemahaman,” ujarnya yang turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah tersebut.

Hadiah Bahasa Public Bank–DBP merupakan kerjasama antara Public Bank Berhad dengan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggalakkan penghasilan karya bermutu serta memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Secara keseluruhan, anugerah ini menerima lebih 790 penyertaan merentas lima kategori yang dipertandingkan.

Berdasarkan rumusan penilaian panel bagi Kategori A, karya dinilai melalui tiga kriteria utama, iaitu kesempurnaan bahasa, kandungan ilmiah dan gaya persembahan. Panel turut menekankan kepentingan susunan kandungan yang berkesinambungan serta ilustrasi yang relevan dan jelas.

Diterbitkan pada tahun 2024, Kedah Tua: Sejarah, Arkeologi & Naratif Baharu mengetengahkan tiga aspek utama, iaitu sistem politik dan penempatan, ekonomi serta kebudayaan dan demografi.

Perbincangan tentang sistem politik dan penempatan merangkumi struktur politik, pusat ekonomi, populasi dan kompleks pentadbiran. Dalam aspek ekonomi pula, buku ini menghuraikan kepelbagaian kegiatan di Lembah Bujang, termasuk perdagangan antarabangsa, industri serta pengumpulan sumber hutan dan maritim.

Aspek kebudayaan dan demografi meneliti cara hidup serta kepercayaan pedagang asing, golongan pemerintah dan bangsawan serta masyarakat tempatan. Huraian tersebut menawarkan gambaran tentang kepelbagaian masyarakat yang membentuk kehidupan di Kedah Tua.

Peta, ilustrasi dan infografik melengkapi huraian para penulis serta membantu pembaca memahami kandungan sejarah dan arkeologi yang dikemukakan. Penerbitan buku sebegini dapat memupuk minat pembaca umum terhadap sejarah dan arkeologi, khususnya warisan Kedah Tua.

Penghasilan buku ini melibatkan kerjasama para penulis dengan pasukan penerbitan dalam pengolahan kandungan, penyuntingan, penterjemahan dan penyediaan persembahan visual. Proses tersebut menghubungkan kepakaran penyelidik dengan kemahiran penerbitan bagi menghasilkan buku untuk bacaan umum.

Penerbitan buku popular membantu memperluas penyebaran ilmu kepada masyarakat melalui pengolahan kandungan yang sesuai untuk pembaca umum. Pendekatan ini membolehkan hasil penyelidikan menjangkau pembaca di luar lingkungan akademik serta membuka ruang untuk mereka memahami dan membincangkan sesuatu bidang. Dalam konteks Kedah Tua, pengetahuan sejarah dan arkeologi menjadi asas untuk masyarakat mengenali serta menghargai warisan negara.

Bagi Penerbit USM, kemenangan Kedah Tua merupakan pencapaian yang membanggakan buat para penulis dan pasukan penerbitan. Melalui USM Popular, Penerbit USM menyediakan ruang untuk para penyelidik dan penulis berkongsi ilmu serta kepakaran dengan pembaca umum.

Teks: Jannatun Hidayah Umar, Penerbit Universiti Sains Malaysia
Foto: Jannatun Hidayah Umar, Penerbit Universiti Sains Malaysia