Meskipun terpaksa bergantung pada kerusi roda, beliau membuktikan keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk menamatkan perjuangan akademiknya apabila berjaya menghadiri Upacara Konvokesyen Ke-64 USM, di sini hari ini.
Graduan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) itu menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam bidang Kejuruteraan Awam selepas mengharungi perjalanan pengajian yang penuh cabaran.
Menurut Muhammad Akmal, pada peringkat awal selepas disahkan menghidap kanser testis tahap empat yang telah merebak ke paru-paru dan hati serta menyebabkan tekanan pada saraf tunjang, kehidupannya seakan-akan gelap dan perasaannya bercampur baur.
“Saya sepatutnya bergraduasi lebih awal, namun takdir Allah SWT mengubah segalanya. Pun begitu, saya amat bersyukur kerana masih berpeluang untuk meraikan kejayaan bergelar graduan dan menaiki pentas konvokesyen,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Nor Aini Othman, 55, berkata, Muhammad Akmal pada mulanya hanya mengadu sering mengalami sakit di bahagian belakang badan, namun beliau tidak menyangka keadaan itu merupakan petanda kepada penyakit yang lebih serius.
“Adakalanya saya tidak mampu menahan air mata apabila melihat beliau menanggung segala kesakitan, namun dalam masa yang sama tetap menunjukkan kecekalan untuk menghabiskan pengajiannya.
“Dia memang tidak patah semangat. Sebagai ibu bapa, kami sentiasa bersama beliau, menyokong, memberi semangat, menyediakan segala keperluan, dan berdoa semoga ada keajaiban buat beliau,” katanya.
Muhammad Akmal disahkan menghidap penyakit tersebut selepas dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 21 Julai 2023. Sejak itu, kehidupannya berubah secara drastik sehingga beliau pernah hanya mampu terbaring di katil.
Bagaimanapun, beliau menjalani rawatan dan proses pemulihan secara berterusan di Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Seberang Jaya, termasuk menjalani rehabilitasi serta fisioterapi bagi membantu pemulihannya.
Bagi memastikan beliau dan keluarganya dapat menghadiri detik bermakna tersebut, PPKA turut menyediakan kenderaan rasmi universiti jenis MPV berserta pemandu untuk membawa Muhammad Akmal dan ibu bapanya ke istiadat berkenaan.
Muhammad Akmal diraikan pada Sidang Keenam Istiadat Konvokesyen USM dan menerima skrol ijazah daripada Pro-Canselor USM, Academician Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.
Kejayaan beliau membuktikan bahawa perjalanan menuju kejayaan tidak semestinya mudah, sebaliknya menuntut ketabahan dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan.