Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

KAM USM 2026: PENGALAMAN HIDUP NAIB CANSELOR CETUS TEKAD PERKASA PENDIDIKAN ANAK KAMPUNG MELAYU

PULAU PINANG · 15 November 2026

Membesar dalam sebuah unit kediaman kecil di Blok B, Flat Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang, bukanlah penghalang kepada Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed untuk mengubah masa depan melalui pendidikan.

Pengalaman hidup dalam serba kekurangan telah membentuk keazaman beliau untuk berjaya, sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa latar belakang sosioekonomi tidak seharusnya menentukan potensi dan masa depan seseorang.

Kini, sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), beliau bertekad memastikan generasi muda Kampung Melayu turut mendapat peluang untuk membina masa depan yang lebih baik melalui pendidikan.

Bagi beliau, pendidikan bukan sekadar laluan memperoleh kelayakan akademik dan membina kerjaya, tetapi juga wahana penting untuk meningkatkan taraf hidup, membina keyakinan diri serta memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi.

Berbekalkan pengalaman sebagai anak jati Kampung Melayu, beliau berhasrat menjadikan USM sebahagian daripada pengalaman pembelajaran anak-anak komuniti tersebut. Pendedahan kepada persekitaran universiti diharap dapat menyemai aspirasi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, meningkatkan keyakinan diri serta membuka minda mereka terhadap peluang pendidikan tanpa mengira latar belakang keluarga.

Hasrat tersebut diterjemahkan melalui Inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) USM 2026 yang berteraskan prinsip Leave No One Behind (LNOB) atau Tiada Sesiapa yang Tercicir, selaras dengan Agenda 2030 bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pelaksanaan inisiatif ini dirangka berasaskan tiga teras strategik, iaitu Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran, Infrastruktur serta Sosial dan Kesejahteraan.

Antara komponen yang digariskan termasuk program pemerkasaan belia, kursus kemahiran jangka pendek, penambahbaikan kemudahan komuniti melalui naik taraf ruang Bangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, serta program pembangunan sosioekonomi, kesukarelawanan dan pemeriksaan kesihatan komuniti.

Ketiga-tiga teras tersebut saling melengkapi dalam menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui peluasan akses pembelajaran, pembangunan kemahiran dan penyediaan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

Usaha ini turut menyumbang kepada SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) melalui peluasan peluang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi komuniti.

Bagi beliau, kejayaan pembangunan komuniti tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan atau kemudahan yang disediakan, tetapi juga melalui perubahan kehidupan, peningkatan keyakinan diri dan peluang baharu yang dapat dimanfaatkan oleh generasi seterusnya.

Daripada pengalaman seorang anak Kampung Melayu yang pernah membesar dalam keterbatasan, lahir tekad untuk membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda di tempat asalnya.

Perjalanan hidup beliau membuktikan bahawa tempat seseorang bermula tidak semestinya menentukan sejauh mana dia mampu melangkah. Pendidikan mampu membuka ruang kepada setiap anak untuk membina potensi, mengejar cita-cita dan menentukan masa depan mereka sendiri.

Tiada seorang pun harus ditinggalkan.

Teks & Foto: Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak, Pengarah Pejabat Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM)