Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Julita Balqis Badrul Munir, melakar kejayaan membanggakan apabila terpilih sebagai salah seorang daripada 12 penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2026 dalam majlis yang berlangsung di Kristal Ballroom 1, Hilton Petaling Jaya, semalam.
Julita, yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Sains Politik), dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, penglibatan aktif dalam kokurikulum, dan khidmat masyarakat, selain memiliki sahsiah terpuji serta keupayaan berfikir secara rasional, kritis, dan kreatif.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Penaung Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), Toh Puan Dato’ Seri Hajah Dr. Aishah Ong, bersempena Majlis Penyampaian Anugerah Siswi Cemerlang 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Tun Dr. Hasmah Mohd Ali 2025.
Sebagai penerima anugerah tersebut, Julita turut menerima wang tunai berjumlah RM2,000 berserta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dan potensi kepimpinan yang ditunjukkan dalam pelbagai bidang.
Turut hadir meraikan kejayaan tersebut ialah Ketua Unit Kebajikan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Siti Meszaida Mohd Ehsan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, merakamkan ucapan tahniah kepada Julita atas pencapaian yang disifatkan sebagai bukti keupayaan mahasiswa USM mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembangunan sahsiah, kepimpinan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama universiti, malah menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus meningkatkan potensi diri dan menyumbang kepada masyarakat serta negara.