JABATAN PERUBATAN KECEMASAN HPUSM PERKASA KOMUNITI MELALUI PERKONGSIAN KEPAKARAN
Jabatan Perubatan Kecemasan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memperkasa kesiapsiagaan komuniti, perkongsian ilmu dan kesedaran pemeliharaan alam sekitar menerusi tiga program yang mengaplikasikan kepakaran perubatan kecemasan dalam konteks berbeza.
Program berkenaan termasuk Basic Hyperbaric & Diving Medicine + Scuba Diving Course (HI-DIVE 26), Island First Responder dan Perkhidmatan Liputan Perubatan Trackside (Trackside Medical Service – TMS) sempena perlumbaan sukan permotoran di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Ketiga-tiga inisiatif itu merangkumi latihan perubatan selaman, pembangunan kemahiran pertolongan cemas dalam kalangan penduduk pulau serta penugasan pasukan perubatan dalam persekitaran sukan permotoran.
HI-DIVE 26 gabungkan ilmu perubatan selaman dan kelestarian marin
Program HI-DIVE 26 anjuran Unit Perubatan Hiperbarik, Jabatan Perubatan Kecemasan HPUSM berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026, dimulakan dengan sesi akademik di Auditorium Dato’ Dr. Zaidun Kamari, Jabatan Perubatan Kecemasan, HPUSM.
Pengisian program merangkumi aplikasi klinikal terapi oksigen hiperbarik (Hyperbaric Oxygen Therapy – HBOT), asas selaman SCUBA, prinsip dan risiko rawatan HBOT, keselamatan pesakit serta pengurusan insiden berkaitan selaman.
Antara penceramah yang berkongsi kepakaran ialah Ketua Unit Perubatan Hiperbarik, HPUSM, Prof. Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman, Prof. Madya Dr. Tuan Hairulnizam, Dr. Mohamad Masykurin Mafauzy dan Dr. Wan Syahmi Wan Mohamad.
Program diteruskan di Pulau Perhentian, Terengganu, daripada 24 hingga 26 September menerusi latihan praktikal selaman SCUBA. Aktiviti pembersihan pantai dan laut turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan memelihara ekosistem marin.
Island First Responder tingkat kesiapsiagaan komuniti pulau
Sementara itu, Program Island First Responder berlangsung dari 24 hingga 27 September 2026 di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil, dengan tumpuan kepada pembangunan keupayaan penduduk memberikan bantuan awal ketika kecemasan sementara menunggu bantuan profesional.
Program di bawah Geran Libatsama Komuniti–Universiti 2026 dengan pembiayaan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM itu diketuai oleh Dr. Mohamad Masykurin Mafauzy dan melibatkan ahli akademik, pelajar sarjana perubatan serta sukarelawan daripada beberapa jabatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kampus Kesihatan.
Latihan jurulatih atau Training of Trainers (ToT) pada 26 September melibatkan 10 peserta yang dilatih sebagai jurulatih komuniti menggunakan modul SIAGA KOMUNITI: Modul Tindakan Awal Pertolongan Cemas untuk Orang Awam.
Modul tersebut dibangunkan oleh Dr. Mohd Harizal Senik, Dr. Wan Ratmaazila Wan Makhtar, Dr. Farizan Ahmad dan Dr. Mohamad Masykurin Mafauzy.
Menerusi demonstrasi, simulasi kecemasan dan latihan praktikal, peserta didedahkan kepada kemahiran resusitasi kardiopulmonari (CPR), penggunaan defibrilator luaran automatik (AED), pengurusan kes tersedak serta kawalan pendarahan.
Sebagai langkah menyokong kesinambungan program, First Responder Kit dan Modul Siaga Komuniti diserahkan kepada komuniti sempena Majlis Perasmian Penutup Festival Seni Budaya Pulau Terengganu 2026 pada malam 26 September. Penyerahan disempurnakan oleh Dr. Mohd Harizal Senik @ Nawi, yang mewakili pasukan program, kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Perhentian, Zainudin Mohd.
Pasukan program turut membantu pengurusan Sukan Rakyat untuk kanak-kanak Tabika KEMAS bagi mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan masyarakat setempat.
Program itu menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat melalui pendidikan kesihatan, pembangunan jurulatih tempatan dan kerjasama universiti–komuniti.
15 anggota HPUSM terlibat dalam liputan perubatan trackside
Dalam penglibatan berasingan, seramai 15 anggota pasukan perubatan Jabatan Perubatan Kecemasan HPUSM terlibat dalam Perkhidmatan Liputan Perubatan Trackside sempena perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Pasukan itu terdiri daripada pakar perubatan kecemasan, pegawai perubatan dan anggota paramedik, termasuk Penolong Pegawai Perubatan serta jururawat. Tiga pakar perubatan kecemasan yang terlibat ialah Dr. Abu Yazid Md Noh, Dr. Mohamad Masykurin Mafauzy dan Dr. Fida Muhammad.
Pasukan berkenaan menjalani persediaan bagi penugasan tersebut menjelang perlumbaan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 lalu. Penglibatan itu membolehkan kepakaran perubatan kecemasan diaplikasikan dalam persekitaran sukan permotoran yang memerlukan kesiapsiagaan dan koordinasi pasukan.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga program memperlihatkan penglibatan kepakaran Jabatan Perubatan Kecemasan HPUSM dalam latihan perubatan, pembangunan keupayaan komuniti dan perkhidmatan kecemasan, di samping menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar melalui aktiviti kesedaran kelestarian marin.