Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

INTERNATIONAL HUBS CONFERENCE 2026; USM PERLUAS JARINGAN GLOBAL, PERKUKUH IMPAK SOSIOEKONOMI KOMUNITI

PULAU PINANG · 20 Oktober 2026

USM PULAU PINANG, 20 Oktober 2026 – Daripada meningkatkan pendapatan komuniti pengusaha gula apong dan madu kelulut hingga membawa produk komuniti ke pasaran Amerika Syarikat, China, Jepun dan Arab Saudi, Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh pendekatan pemindahan ilmu yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan jaringan industri bagi menghasilkan impak sosioekonomi yang lebih menyeluruh.

Pendekatan itu diketengahkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM pada International Hubs Conference 2026 di Karlsruhe Institute of Technology (KIT), Karlsruhe, Jerman, yang berlangsung dari 3 hingga 9 Oktober 2026. USM merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dari Asia yang menyertai persidangan tersebut bersama institusi rakan dari Afrika Selatan, Mexico, Kanada dan Jerman.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran berkata, penglibatan USM memberi tumpuan kepada perkongsian ekosistem pemerkasaan komuniti yang menghubungkan ilmu dengan impak, khususnya melalui kerjasama strategik antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat.

“Pemindahan ilmu yang berkesan bukan sekadar menyampaikan teknologi atau melaksanakan latihan, tetapi membina ekosistem yang membolehkan komuniti meningkatkan keupayaan, menjana pendapatan dan menembusi pasaran secara berterusan. Melalui jaringan industri dan masyarakat, USM berusaha memastikan kepakaran serta inovasi universiti dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar komuniti, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kurang mendapat akses kepada peluang pembangunan,” katanya.

Delegasi USM ke persidangan antarabangsa tersebut turut disertai oleh Ketua Pengurus Program Sosio-Ekonomi, Unit PENERAJU meragkap Penolong Pendaftar USM, Nik Mohamad Syazne Nik Ezanee. Pendekatan tersebut dikongsikan menerusi pembentangan bertajuk “Addressing the Complexity of Community Socio-Economic Issues: USM Experience”, yang memperlihatkan bagaimana USM menghubungkan penyelidikan, pembangunan kapasiti, inovasi dan akses pasaran dalam menangani cabaran sosioekonomi masyarakat.

Model pelaksanaan USM berasaskan Quadruple Helix Model yang menggabungkan empat aktor utama, iaitu universiti sebagai penyedia ilmu dan inovasi, industri sebagai penggerak pasaran dan pengkomersialan, kerajaan sebagai penyokong dasar dan sumber, serta komuniti sebagai penerima manfaat dan rakan pelaksana. Pelaksanaan projek pula diperkukuh melalui kerangka pengurusan 4M, iaitu Merancang, Mengurus, Melaksana dan Memantau.

Menerusi pendekatan menyeluruh end-to-end, USM bukan sahaja memperkenalkan teknologi dan memberikan latihan, malah menyokong pembangunan kapasiti, peningkatan kualiti pengeluaran, pembangunan produk, pensijilan, akses pasaran serta bimbingan berterusan bagi memastikan manfaat intervensi dapat diteruskan.

Usaha ini dilaksanakan melalui program INNO4C, SMART Community, SIPS dan HICP yang berkembang mengikut keperluan serta cabaran di lapangan, daripada pembangunan model intervensi dan produk kepada peluasan skala serta pembinaan ekosistem komuniti yang lebih menyeluruh.

Keberkesanan pendekatan tersebut turut ditunjukkan melalui perkembangan pendapatan komuniti pengusaha gula apong dan madu kelulut berdasarkan rekod IMPACT4C, selain peluasan pasaran produk komuniti ke Amerika Syarikat, China, Jepun dan Arab Saudi. Perkembangan ini disokong oleh penambahbaikan produk, usaha mendapatkan pensijilan dan jaringan rakan pengkomersialan antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, USM dan KIT memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menginstitusikan kerjasama jangka panjang dalam bidang Sustainability Science, Transdisciplinary Research, Urban Sustainability and Resilience, Digital and Immersive Research Infrastructures, Sustainability Education dan Transformative Innovation.

Kerjasama itu merangkumi penyelidikan bersama, perkongsian metodologi dan data, pembangunan infrastruktur pengetahuan dan data bersama, penerbitan ilmiah dan policy brief, pertukaran penyelidik, staf serta pelajar, latihan dan bengkel, selain penerokaan peluang pembiayaan bersama.

MoU tersebut turut membuka peluang pembangunan regional hubs dan infrastruktur pengetahuan antarabangsa, termasuk potensi menghubungkan pengalaman lapangan, data dan pencapaian projek sosioekonomi USM dengan kepakaran KIT menerusi pendekatan Real World Laboratory (RWL). Kerjasama ini berpotensi memperkukuh asas bukti bagi projek komuniti, mengenal pasti faktor kejayaan serta cabaran secara lebih sistematik, dan membantu menambah baik reka bentuk program pemerkasaan pada masa hadapan.

Persidangan itu turut menjadi platform perkongsian kepakaran mengenai penyelidikan transdisiplin, kelestarian, etika data, pembangunan jaringan antarabangsa dan kerjasama Global North–Global South. USM juga berkongsi pengalaman pelaksanaan projek pemerkasaan sosioekonomi oleh Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu (PENERAJU), di samping pencapaian universiti dalam agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Penyertaan dan kerjasama tersebut mencerminkan usaha USM memperkukuh peranan universiti sebagai rakan pembangunan masyarakat dengan memastikan penyelidikan dan inovasi tidak terhenti di peringkat akademik, sebaliknya dimanfaatkan untuk memperluas peluang ekonomi, meningkatkan keupayaan komuniti dan menyokong pembangunan sosioekonomi yang berterusan.

Teks: Nik Mohamad Syazne Nik Ezanee, Unit PENERAJU, BJIM USM
Foto: Nik Mohamad Syazne Nik Ezanee, Unit PENERAJU, BJIM USM