INOVASI USM MERENTAS INDUSTRI DAN KOMUNITI, TARIK PERHATIAN PENGERUSI LEMBAGA GABENOR DI URIIS 2026
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said meninjau penyelidikan yang membuka laluan baharu dalam teknologi semikonduktor, pembinaan mampan dan ekonomi komuniti
Di University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026, Universiti Sains Malaysia (USM) memperlihatkan penyelidikan yang bergerak dalam dua dunia yang sama penting: teknologi untuk memenuhi keperluan industri dan inisiatif yang mengangkat kemahiran komuniti menjadi peluang ekonomi.
Kekuatan tersebut menjadi tumpuan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said, ketika melawat reruai universiti di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). Beliau meninjau teknologi yang dipamerkan dan mendengar penerangan secara langsung daripada para penyelidik USM tentang pembangunan, kegunaan serta potensi setiap inovasi.
Penyertaan USM turut disokong oleh rakan industri melalui reruai bertaraf Silver. Intel Malaysia merupakan penaja utama, bersama Micron Memory Malaysia, SanDisk Storage Malaysia dan ViTrox Corporation Berhad sebagai penaja bersama. USM juga merupakan satu-satunya universiti awam di URIIS 2026 yang menampilkan reruai khusus dengan tajaan industri.
Dalam bidang semikonduktor, Ts. Dr. Mohd Nazri Abd Rahman memperkenalkan High-Performance GaN Template for Next-Generation Semiconductor Electronics, penyelidikan bahan yang berkaitan dengan pembangunan elektronik generasi baharu. Profesor Ir. Dr. Cheah Chee Ban pula mempamerkan Eco-crete, bahan binaan mampan yang mencerminkan usaha menghasilkan pilihan baharu bagi sektor pembinaan.
Turut menarik perhatian ialah EcoShield-X, bata komposit nano dan mikro tanpa plumbum yang dibangunkan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon untuk perlindungan daripada sinaran X dan gama. Dalam bidang keselamatan dan mobiliti termaju, Profesor Madya Dr. Shankar Karuppayah mengetengahkan FalconSight, manakala Dr. Safiah Zulkifli mempamerkan sistem radar pengesanan dron.
Lawatan itu turut memperlihatkan bagaimana kepakaran universiti dapat membuka laluan ekonomi kepada masyarakat. Melalui Community Program for Sustainable Impact Mission (COMPASSION), yang diwakili oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak, USM menampilkan inisiatif yang menghubungkan pengetahuan komuniti dengan pembangunan kemahiran dan peluang pasaran.
Antaranya ialah usaha bersama komuniti Orang Asli Kensiu di Baling untuk mengembangkan potensi anyaman mengkuang tradisional, serta latihan pembuatan tanjak bagi orang kurang upaya. Kedua-duanya menunjukkan bagaimana nilai ekonomi boleh dibina dengan menghargai kemahiran dan identiti mereka yang menghasilkannya.
Kunjungan Pengerusi Lembaga Gabenor USM pada petang ini amat bermakna dan telah menyuntik semangat kepada para penyelidik yang terlibat. Beliau meninjau teknologi yang dibangunkan untuk keperluan industri serta inisiatif yang membuka peluang pasaran dan pendapatan kepada komuniti. Kehadiran beliau turut menzahirkan sokongan terhadap usaha USM memastikan hasil penyelidikannya menjawab keperluan sebenar dan membawa manfaat kepada masyarakat.