Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

INOVASI JPPF USM RAIH DUA ANUGERAH NAIB JOHAN DI AITL 2026

USM PULAU PINANG · 26 Oktober 2026

Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Universiti Sains Malaysia (USM) meraih dua anugerah Naib Johan dalam dua kategori berbeza pada Anugerah Inovasi Tentera Laut (AITL) 2026 menerusi dua projek inovasi yang dibangunkan secara hibrid bersama Kapal Diraja Sri Pinang (KD SRI PINANG).

Pencapaian itu membabitkan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Face-EX8 menerusi projek Fast & Easy Waterproofing (FEW) dalam kategori Hibrid/Penyampaian Perkhidmatan, serta KIK Face-EX9 menerusi projek Modul Penghasilan Cendawan Tiram Kaedah Mycoboost dalam kategori Hibrid/Sosial.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain pada Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Hari Integriti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.

Sambutan tahun ini bertemakan Inovasi Dicipta, Kualiti Dijana, Integriti Diperkasa. Kedua-dua kumpulan masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan dalam majlis tersebut.

Projek FEW memberi tumpuan kepada penambahbaikan kaedah kerja pembaikan lantai tandas bagi mencegah kerosakan yang lebih serius, manakala Modul Penghasilan Cendawan Tiram Kaedah Mycoboost menyediakan panduan penanaman cendawan menggunakan kaedah moden bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah (B40).

Pertandingan AITL 2026 berlangsung dari 5 hingga 7 Mei 2026 di Kapal Diraja Sri Gombak (KD SRI GOMBAK), Kuala Lumpur, dengan enam kategori dipertandingkan dan penyertaan sebanyak 40 kumpulan inovasi.

Pencapaian berganda ini memperlihatkan keupayaan JPPF membangunkan inovasi berorientasikan penyelesaian masalah sebenar merentas agensi, selaras dengan peranannya sebagai pusat tanggungjawab (PTJ) yang menyediakan perkhidmatan penting di universiti.

Penyertaan dalam pertandingan itu turut menjadi sebahagian daripada usaha JPPF membentuk warga kerja yang kreatif, berdaya saing dan proaktif, di samping meningkatkan kompetensi serta keupayaan menghasilkan idea inovatif yang boleh dilaksanakan.

Teks: Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), USM
Foto: Cawangan Komunikasi Strategik, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)