HPUSM PERKASA KESIHATAN KOMUNITI MELALUI KARNIVAL ORL-HNS
USM PULAU PINANG, 27 Ogos 2026 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memperkukuh usaha memperkasa kesihatan komuniti menerusi penganjuran Karnival Kesihatan Otorhinolaringologi-Pembedahan Kepala dan Leher (ORL-HNS) sempena World Head and Neck Cancer Day 2026 di Bachok, Kelantan baru-baru ini.
Program anjuran Unit ORL-HNS, HPUSM itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencegahan, pengesanan awal dan kepentingan rawatan penyakit hidung, telinga dan tekak serta kanser kepala dan leher, di samping memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan dalam kalangan komuniti setempat.
Seramai 400 peserta terdiri daripada 200 pelajar dan 200 penduduk komuniti setempat dari Kampung Telaga Ara, Kampung Kok Lintang, Kampung Permatang Pasir dan Kampung Sri Kemunting di Gunung, Bachok, menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang program yang turut mendapat sokongan Dana KPT MADANI itu.
Antara pengisian utama ialah saringan kesihatan, ceramah pendidikan kesihatan, pemeriksaan klinikal oleh pakar, program “Doktor Masuk Kampung”, Senamrobik Sihat 1Malaysia, pertandingan mewarna kanak-kanak, acara sukaneka komuniti dan cabutan bertuah.
Menurut pengerusi program merangkap Pakar Bedah Kepala & Leher HPUSM, Profesor Dr. Norhafiza Mat Lazim, menerusi aktiviti saringan dan pemeriksaan klinikal, terdapat lima individu dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan serius, termasuk penyakit rongga hidung, pembengkakan leher dan gangguan saraf kranial.
“Kesemua individu berkenaan telah dirujuk ke Klinik Pakar ORL-HNS HPUSM untuk penilaian lanjut dan rawatan yang sewajarnya, sekali gus menunjukkan kepentingan saringan komuniti dalam membantu pengesanan awal penyakit. Program “Doktor Masuk Kampung” turut menjadi antara pendekatan yang menghubungkan perkhidmatan kesihatan dengan masyarakat secara lebih dekat apabila 10 keluarga menerima lawatan kesihatan di rumah (home visit),” ujar beliau lanjut.
Beliau juga berkata, lawatan tersebut melibatkan pemeriksaan kesihatan asas, pemberian ubat-ubatan berkaitan serta sumbangan barangan keperluan harian kepada keluarga yang memerlukan.
Selain memberi tumpuan kepada aspek pemeriksaan dan rawatan, program itu turut mempromosikan pengamalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti Senamrobik Sihat 1 Malaysia yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan penduduk setempat. Aktiviti berkenaan bertujuan memupuk budaya hidup aktif serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pencegahan penyakit kronik dan kanser kepala dan leher melalui amalan gaya hidup sihat.
Tambah Norhafiza, bagi memastikan manfaat program dapat diteruskan kepada komuniti setempat, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara pihak sekolah dan Jabatan ORL-HNS, HPUSM. “Kerjasama itu diharapkan dapat memperluaskan pelaksanaan program berasaskan komuniti serta memperkukuh manfaatnya kepada masyarakat pada masa hadapan,” ujar beliau lagi.
Penganjuran Karnival Kesihatan ORL-HNS HPUSM membuktikan komitmen berterusan HPUSM dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memperkasa kesihatan komuniti melalui pendidikan, pencegahan penyakit, pengesanan awal dan intervensi kesihatan yang berkesan.
Inisiatif berkenaan turut selaras dengan aspirasi KPT MADANI dalam memperluaskan manfaat ilmu dan kepakaran universiti kepada masyarakat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti di peringkat akar umbi. Program itu turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran komuniti terhadap penyakit telinga, hidung dan tekak serta kanser kepala dan leher, di samping memperkukuh hubungan antara HPUSM, universiti dan masyarakat setempat.