HELWA PERKUKUH UKHUWAH, SATUKAN AJK BAHARU PUSAT ISLAM USM
USM PULAU PINANG, 20 Ogos 2026 – Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita (HELWA) Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sesi 2025/2027 diraikan menerusi program HELWA Bonding yang menjadi platform untuk mengukuhkan ukhuwah, membina keserasian dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan barisan jawatankuasa baharu.
Program yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Islam USM itu menghimpunkan ahli jawatankuasa HELWA dalam suasana santai dan mesra melalui pelbagai aktiviti termasuk sesi suaikenal, sukaneka, hiburan, perbincangan serta pertukaran hadiah.
Pengerusi HELWA Pusat Islam USM, Nor Fadhilah Wahab berkata, program berkenaan dianjurkan bagi memberi ruang kepada semua ahli jawatankuasa yang baharu dilantik untuk saling mengenali dengan lebih dekat, selain membina hubungan yang lebih akrab.
“Program seperti ini penting untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta mewujudkan keserasian dalam kalangan jawatankuasa.
“Apabila kita saling mengenali dan memahami antara satu sama lain, kerjasama dapat dijalinkan dengan lebih baik dan segala perancangan serta amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan lebih lancar,” katanya.
Tambah beliau, barisan ahli jawatankuasa HELWA juga diharap dapat membina semangat kebersamaan yang kukuh dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pada masa hadapan melalui program ini. Begitu juga Jawatankuasa HELWA Pusat Islam di kampus-kampus cawangan yang lain supaya kita dapat bersatu dalam menjayakan misi dan visi selaras dengan keperluan semasa di kampus.
Selain aktiviti yang dirancang, sesi pertukaran hadiah turut diadakan dengan setiap ahli jawatankuasa membawa hadiah bernilai RM20 sebagai tanda penghargaan dan bagi memeriahkan lagi program.
HELWA turut membuka ruang untuk para peserta membawa hidangan potluck bagi memeriahkan acara, sekali gus menjadikan program berkenaan sebagai ruang santai untuk berinteraksi dan bertukar pandangan.
Untuk program akan datang, HELWA merancang untuk melaksanakan program yang melibatkan semua wanita di Kampus Induk sepertimana yang pernah dianjurkan oleh Jawatankuasa HELWA Pusat Islam di Kampus-kampus cawangan. Program yang dinamakan Tautan Kasih akan menghimpunkan semua wanita dalam program santai sebagai medium untuk suaikenal dan menjalinkan ukhuwah antara wanita-wanita di Kampus Induk.