Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

HARI ANATOMI SEDUNIA DI USM GABUNG SAINS, SENI DAN BUDAYA

KUBANG KERIAN, KELANTAN · 15 Oktober 2026
Para pensyarah menyantuni pengunjung sempena Hari Anatomi Sedunia di USM
Para pensyarah menyantuni pengunjung sempena sambutan Hari Anatomi Sedunia 2026.

Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan sambutan Hari Anatomi Sedunia 2026 dengan mengetengahkan pendekatan kreatif yang menggabungkan ilmu sains, seni dan warisan budaya dalam pembelajaran anatomi manusia.

Bertemakan “Anatomy: The Foundation of Health and Curiosity”, program yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM itu menghimpunkan pensyarah, pelajar prasiswazah dan pascasiswazah serta murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dalam pelbagai aktiviti pendidikan dan penerokaan anatomi.

Sambutan tersebut bertujuan memperkenalkan pendekatan pembelajaran anatomi yang lebih interaktif dan menarik, sekali gus memupuk minat serta rasa ingin tahu peserta terhadap struktur dan fungsi tubuh manusia.

Seni batik dan puisi sebagai medium pembelajaran

Antara keunikan penganjuran tahun ini ialah penerapan elemen seni warisan Malaysia, khususnya batik tradisional dan puisi, sebagai medium untuk memahami konsep anatomi yang kompleks.

Melalui pendekatan ini, struktur histologi diterjemahkan dalam bentuk seni batik, manakala anatomi kasar (gross anatomy) diungkapkan melalui karya puisi, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk meneroka hubungan antara sains dan kreativiti.

Program turut dimeriahkan dengan Pertandingan Histobatik dan Pertandingan Puisi Anatomi Kasar yang memberi ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan anatomi melalui penghasilan karya seni kreatif.

Hasil karya berwarna merah jambu, biru dan ungu pemenang pertama BatikHisto WAD 2026
Hasil karya pemenang tempat pertama Pertandingan BatikHisto WAD 2026.
Sajak Darah Kehidupan Pengembara Kerdil karya Mohd Aidi dengan ilustrasi anatomi
Sajak “Darah Kehidupan Pengembara Kerdil”, hasil nukilan Mohd Aidi, kakitangan HPUSM.

Penerokaan anatomi secara interaktif

Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan, termasuk The Anatomical Discovery Trail, iaitu aktiviti pencarian harta karun digital yang menjadikan ruang muzium sebagai persekitaran pembelajaran berasaskan penerokaan.

Selain itu, pameran Micro-Macro Gallery memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat spesimen anatomi fizikal bersama-sama slaid histologi digital, sekali gus membantu mereka memahami struktur tubuh manusia pada peringkat makroskopik dan mikroskopik.

Penganjuran aktiviti berkenaan memperlihatkan potensi integrasi seni dan sains dalam memperkaya pengalaman pembelajaran, khususnya dalam bidang pendidikan perubatan.

Sambutan diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, selain penghargaan kepada sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Setiap struktur mempunyai ceritanya tersendiri.”

Berteraskan pendekatan bahawa setiap struktur anatomi mempunyai ceritanya tersendiri, sambutan Hari Anatomi Sedunia 2026 ini menjadi platform untuk memperluas kefahaman masyarakat terhadap ilmu anatomi melalui pengalaman pembelajaran yang kreatif, interaktif dan berteraskan budaya.

Teks dan foto: Nik Ahmad Shah Nik Lah, Pusat Pengajian Sains Perubatan