
GRADUAN PERLU MANFAATKAN ILMU BERTERASKAN NILAI KEMANUSIAAN DALAM ERA AI – PRO-CANSELOR USM

USM PULAU PINANG, 26 November 2026 – Graduan universiti hari ini perlu memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk membangunkan masyarakat dan negara berasaskan nilai kemanusiaan, di samping berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan pesat yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), automasi, dan teknologi digital.
Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan berkata, teknologi hanyalah alat, manakala hasil penggunaannya bergantung kepada kebijaksanaan, integriti serta nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh individu.
"Dalam dunia yang semakin dipengaruhi algoritma dan kecerdasan mesin, individu berilmu perlu terus membuat pertimbangan yang beretika, berperikemanusiaan, dan bertanggungjawab kepada masyarakat," katanya ketika menyempurnakan Sidang Keempat Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM, di sini hari ini.
Beliau terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan yang dicapai hasil dedikasi, kesungguhan, dan ketabahan sepanjang menempuh perjalanan akademik dan penyelidikan.
Menurutnya, bagi graduan pascasiswazah mod penyelidikan, penganugerahan ijazah bukan sahaja menjadi pengiktirafan akademik, malah mencerminkan keupayaan mereka meneroka ilmu baharu, berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah kompleks serta menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing.
Zulkefli berkata, para graduan bakal berdepan dunia yang berubah pada kadar amat pantas, dengan kemunculan pelbagai peluang dan cabaran yang mengubah cara manusia bekerja, belajar, dan berinteraksi.
Beliau turut berkata, prinsip "Kami Memimpin" yang menjadi tonggak identiti USM perlu terus dihayati sebagai komitmen terhadap kecemerlangan ilmu, kelestarian, dan tanggungjawab sosial.
Sebagai universiti berstatus Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), katanya, USM akan terus memastikan ilmu yang dijana dan graduan yang dilahirkan memberi manfaat kepada masyarakat, negara, dan manusia sejagat.
Beliau berkata graduan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu bersedia menghadapi dunia profesional yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan, namun kemajuan teknologi tetap memerlukan kebijaksanaan moral dan pertimbangan beretika.
Pada masa sama, beliau berkata graduan dalam bidang sains kemasyarakatan dan sastera perlu terus memperkukuh daya fikir kritis serta keupayaan berhujah berasaskan fakta dan bukti.
Menurut beliau, kepercayaan masyarakat akan menjadi aset penting dalam dunia yang semakin dipacu data, justeru amalan tadbir urus data yang beretika serta pemeliharaan keselamatan dan integriti maklumat perlu sentiasa diberi keutamaan.
Beliau turut mengingatkan graduan bahawa mereka merupakan aset penting negara dalam menerajui perubahan dan pembangunan masa depan.
"Anda ialah harapan negara untuk mencetuskan perubahan dalam bidang masing-masing. Gunakan ilmu yang dimiliki bagi menyelesaikan masalah, meningkatkan kesejahteraan masyarakat, dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.
Mengakhiri ucapan, Zulkefli merakamkan penghargaan kepada para penyelia, pensyarah, penyelidik serta seluruh warga USM yang telah membimbing dan menyokong kejayaan graduan sepanjang tempoh pengajian.
Beliau turut mengingatkan para graduan agar tidak melupakan pengorbanan ibu bapa, pasangan, anak-anak serta keluarga yang menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan akademik mereka.
"Peliharalah integriti, amalkan pembelajaran sepanjang hayat dan terus menyumbang kepada kemajuan masyarakat serta negara," katanya.
Turut hadir ahli Lembaga Gabenor USM, ahli-ahli Senat USM, pengurusan tertinggi universiti serta para jemputan.

Sidang Keempat Upacara Konvokesyen Ke-64 USM menyaksikan seramai 764 graduan menerima ijazah masing-masing, merangkumi graduan sarjana mod penyelidikan, graduan sarjana dari Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), dan Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), selain graduan sarjana dan sarjana muda dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
Suntingan: Tan Ewe Hoe
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab