Skip to main content

GRADUAN KEJURUTERAAN DISERU JADI PEMACU KEMAJUAN TEKNOLOGI NEGARA

USM PULAU PINANG, 27 November 2026 – Graduan kejuruteraan perlu memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan teknologi negara dengan memanfaatkan ilmu, kemahiran, dan kepakaran yang diperoleh bagi menghasilkan penyelesaian inovatif kepada cabaran masyarakat dan industri.

Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Academician Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali berkata, negara kini memerlukan jurutera yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, malah mampu berfikir secara kritis, menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sidang Keenam Upacara Konvokesyen ke-64 USM yang menyaksikan seramai 733 graduan kejuruteraan menerima ijazah masing-masing di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM hari ini.

"Projek pembangunan mampan masa kini memerlukan penyelesaian kejuruteraan yang menyeimbangkan kemajuan teknologi, kesejahteraan manusia, dan pemeliharaan alam sekitar.

"Justeru, graduan perlu terus meningkatkan kompetensi dan mengamalkan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab profesional mereka," katanya.

Ahmad Tajuddin berkata, USM terus komited melahirkan graduan berkualiti melalui kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan yang sejajar dengan keperluan industri serta agenda pembangunan negara.

Komitmen itu, katanya, dapat dilihat menerusi pencapaian USM dalam QS World University Rankings 2027 yang meletakkan USM di kedudukan ke-128 dunia dan ke-27 di Asia, manakala bidang Kejuruteraan dan Teknologi berada dalam kelompok 200 terbaik dunia.

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan bakat dalam bidang strategik seperti semikonduktor yang kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan teknologi negara.

Menurutnya, bagi sidang akademik 2026/2027, seramai 198 pelajar baharu menyertai program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang ditawarkan buat pertama kali di bahagian pulau, Pulau Pinang, bagi memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Usaha membangunkan bakat dalam bidang strategik perlu disokong melalui kurikulum yang relevan serta kerjasama kukuh antara universiti dan industri.

"Antaranya menerusi pembiayaan geran penyelidikan, pembangunan kursus elektif, dan penyediaan program pensijilan profesional kepada pelajar, khususnya dalam bidang semikonduktor dan pembungkusan termaju," katanya.

Beliau berkata Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM yang menyambut Jubli Perak ke-25 tahun ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan negara melalui kepakaran dalam 11 bidang kejuruteraan.

Selain itu, peluang latihan industri di negara seperti Taiwan, Jepun, Turkiye, dan Singapura membolehkan pelajar memperoleh pendedahan kepada teknologi terkini serta amalan profesional di peringkat antarabangsa.

Ahmad Tajuddin turut berkongsi pengalaman kerjayanya dalam bidang kejuruteraan, termasuk pernah menerajui dan berkhidmat di beberapa organisasi penting negara seperti Agensi Nuklear Malaysia, SIRIM Berhad, dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Berasaskan pengalaman lebih empat dekad dalam sektor teknikal, penyelidikan, dan korporat, beliau mengingatkan para graduan agar terus berusaha dengan bersungguh-sungguh, memanfaatkan ilmu yang diperoleh serta mengamalkan sikap ikhlas dan tabah dalam menghadapi cabaran kerjaya.

"Dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, kesungguhan, dan ketabahan, saya percaya saudara dan saudari mampu mencapai kejayaan yang lebih tinggi serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara," katanya.

Mengakhiri ucapannya, Ahmad Tajuddin menggesa para graduan agar terus menimba ilmu, berani mengemukakan idea baharu, mengutamakan keselamatan dan bekerjasama dalam menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat serta pembangunan teknologi negara.

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, ahli-ahli Lembaga Gabenor USM, Senat USM, pengurusan tertinggi universiti serta para tetamu dan keluarga graduan.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
Suntingan: Tan Ewe Hoe
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab