
GRADUAN HBP DAN KOMUNIKASI DISERU TERAJUI KELESTARIAN KOMUNITI MELALUI INOVASI DAN PENGARUH SOSIAL

USM PULAU PINANG, 28 November 2026 – Graduan dalam bidang Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) serta Komunikasi mempunyai peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih lestari, berdaya tahan, dan sejahtera menerusi gabungan ilmu, inovasi serta keupayaan mempengaruhi perubahan sosial.
Penegasan itu disampaikan oleh Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin ketika mempengerusikan Sidang Kesembilan Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), petang ini.
Beliau mengucapkan tahniah kepada 340 graduan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan serta 294 graduan Pusat Pengajian Komunikasi yang menerima ijazah masing-masing pada sidang tersebut.
Menurut beliau, peristiwa bencana alam yang berlaku di pelbagai negara kebelakangan ini membuktikan bahawa isu alam sekitar bukan lagi ancaman yang jauh, malah memberi kesan langsung kepada keselamatan komuniti, pembangunan bandar, dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, graduan HBP perlu tampil sebagai peneraju dalam merancang dan membangunkan persekitaran kehidupan yang lebih selamat, lestari, dan tahan terhadap cabaran masa hadapan melalui penyelesaian berasaskan ilmu, teknologi, dan inovasi.
“Perancangan yang holistik perlu diterjemahkan kepada struktur dan ruang kehidupan yang bukan sahaja selesa didiami, malah mampu meningkatkan daya tahan komuniti berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa graduan Komunikasi memainkan peranan strategik dalam membentuk kefahaman masyarakat dan menggerakkan tindakan ke arah pembangunan lestari.
“Melalui kewartawanan berintegriti, penulisan berimpak serta kandungan kreatif seperti poster, video pendek, dan filem, graduan komunikasi mampu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu alam sekitar dan kelestarian,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha membina masa depan yang lebih lestari memerlukan hubungan erat antara ilmu, penyampaian maklumat yang berkesan, dan penggubalan dasar yang berteraskan keperluan masyarakat.
Awang Adek berkata, pencapaian USM yang berada dalam kelompok lima universiti terbaik dunia bagi impak kelestarian dalam penarafan Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026 serta kedudukan nombor satu dunia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Kerjasama Demi Matlamat membuktikan komitmen universiti dalam memperkasakan agenda kelestarian melalui kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata, semangat tersebut turut diterjemahkan oleh para pelajar melalui pelbagai inisiatif dan pengiktirafan antarabangsa, termasuk kejayaan pelajar Seni Bina meraih Sustainability Award 2026.
Selain itu, pelajar dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah turut terlibat dalam projek ketahanan bandar dan pengurusan risiko di Jepun di bawah program Global Project-Based Learning (GPBL), yang mana program antarabangsa tersebut dilaksanakan bersama institusi dan komuniti di Jepun, Jerman, China, Singapura, Indonesia, Vietnam, Taiwan, dan Thailand.
“Pengalaman global seperti ini mempertemukan pembelajaran di bilik kuliah dengan cabaran sebenar masyarakat dan alam sekitar, sekali gus melahirkan graduan yang lebih bersedia untuk menyumbang kepada komuniti,” katanya.
Dalam bidang Komunikasi pula, beliau berkata pensyarah dan graduan USM telah mengharumkan nama universiti apabila projek COMM@Love in Transit menerima Anugerah Kecemerlangan Projek Global IPMA 2026 di Jepun.
Katanya, projek yang memfokuskan inisiatif kelestarian dan pembangunan komuniti rentan itu membuktikan bahawa bidang komunikasi bukan sekadar menyampaikan mesej, malah berupaya memperkasa masyarakat serta mencetuskan perubahan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Beliau turut memaklumkan bahawa penawaran program Sarjana Komunikasi Pemasaran Bersepadu secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) mulai tahun ini memperluaskan akses pendidikan tinggi secara lebih inklusif, fleksibel, dan lestari kepada masyarakat.
Mengakhiri ucapannya, Awang Adek menyeru para graduan supaya menjadikan ilmu yang diperoleh sebagai wadah untuk terus menghasilkan inovasi, memperkasa masyarakat, dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan yang diraih hari ini tidak terpisah daripada doa, pengorbanan, dan sokongan berterusan ibu bapa, keluarga, pensyarah serta insan-insan yang sentiasa berada di belakang mereka sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
Suntingan: Tan Ewe Hoe
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab