Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

GLOW PAINT RUN HIMPUNKAN HAMPIR 2,000 PESERTA, MERIAHKAN PENUTUP 3KPP 2026

USM PULAU PINANG · 26 Oktober 2026

Hampir 2,000 peserta memeriahkan Glow Paint Run sejauh lima kilometer (5 km), bermula di The Bricks, Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus menjadi acara kemuncak penutup Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang (3KPP) 2026, di sini baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Sekretariat 3KPP, acara itu menggabungkan aktiviti sukan, seni dan keusahawanan dalam suasana santai serta bertenaga, di samping menyediakan ruang interaksi yang menghimpunkan warga kampus melalui pengalaman bersama.

Majlis perasmian Glow Paint Run diserikan dengan simbolik menurunkan tanda tangan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPA) USM, Profesor Dr. Azizah Omar, bersama-sama Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Dr. Hazrul Abdul Hamid.

Selain larian, program yang diterajui Pengarah Projek, Pui Wei Xin, itu turut menawarkan aktiviti Accessories Bar dan Canvas Painting pada sebelah pagi hingga tengah hari. Gerai jualan dan makanan yang disediakan turut menambah kemeriahan acara serta menarik kunjungan warga kampus.

Karnival tersebut melabuhkan tirainya dengan persembahan penyanyi baharu, Naki, yang menghiburkan peserta dan pengunjung.

Penganjuran Glow Paint Run memperlihatkan kreativiti mahasiswa dalam merangka program yang menggabungkan gaya hidup aktif, ekspresi seni dan elemen keusahawanan.

Lebih daripada sekadar acara larian, program ini menjadi platform untuk menggalakkan interaksi, menyemarakkan suasana kampus dan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti USM.

Teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA