Lebih 150 pembentang dari dalam dan luar negara berhimpun dalam Persidangan Antarabangsa Forum Islam Asia 3.0 (FIA 3.0) 2026 bagi meneroka hubungan antara tradisi ilmu Islam dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani perubahan teknologi semasa.
Persidangan dua hari yang berlangsung penghujung Ogos lalu di Hotel Adya, Pantai Chenang, Langkawi itu dianjurkan Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan mengangkat tema “Tradisi Ilmu dan Revolusi Kecerdasan Buatan dalam Membina Kepimpinan Intelektual Islam”.
Dekan PPIK USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong berkata, perkembangan AI perlu diteliti secara kritis dengan berpandukan tradisi ilmu Islam supaya kemajuan teknologi bergerak seiring dengan nilai ilmu, etika, akhlak dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Dalam era kecerdasan buatan, tradisi ilmu Islam tidak boleh sekadar menjadi warisan yang disimpan, tetapi perlu terus dihidupkan melalui penelitian, pemikiran kritis dan penerokaan teknologi yang berpandukan nilai dan etika,” katanya.
Pengarah FIA 3.0, Dr. Mohammad Amir Wan Harun pula berkata, persidangan itu menghimpunkan lebih 150 pembentang menerusi 10 subtema merangkumi pelbagai bidang pengajian Islam dan aplikasi AI.
Antara bidang yang diketengahkan ialah penggunaan AI dalam analisis Al-Quran dan Hadith, epistemologi Islam, akidah dan falsafah ketuhanan, fiqh, maqasid dan fatwa, kewangan Islam, zakat dan wakaf, industri halal serta dakwah, pendidikan dan pengurusan ummah.
FIA 3.0 turut menampilkan enam penceramah utama daripada bidang akademik, syariah, kewangan Islam dan pengurusan zakat, sekali gus menghubungkan wacana akademik dengan keperluan serta perkembangan semasa institusi Islam dan sektor industri.
Ketua Bahagian Syariah Bank Muamalat, Dr. Mohd Izuwan Mahyudin berkata, kerjasama antara akademia, institusi Islam dan industri penting bagi memastikan perkembangan teknologi dalam sektor kewangan Islam sentiasa mengambil kira prinsip syariah serta keperluan masyarakat.
Menurutnya, hubungan lebih erat antara institusi akademik dan industri juga mampu membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, penyelidikan bersama serta pembangunan penyelesaian yang lebih relevan dengan keperluan semasa.
Persidangan berkenaan mendapat sokongan tujuh rakan kerjasama dari Malaysia dan Indonesia, selain sembilan penaja yang terdiri daripada institusi kewangan, zakat, takaful serta badan agama.
Terdahulu, penganjuran FIA 3.0 meneruskan kesinambungan Forum Islam Asia 1.0 dan 2.0 sebagai antara usaha Bahagian Pengajian Islam, PPIK, USM membangunkan platform wacana ilmu Islam yang responsif terhadap perubahan zaman.
Penganjuran itu turut diharapkan dapat memperkukuh peranan USM dalam pengembangan ilmu dan wacana akademik serta menyumbang kepada pembinaan kepimpinan intelektual Islam yang mampu mendepani perubahan teknologi berteraskan ilmu, hikmah, akhlak dan amanah.