Skip to main content
```html
BERITA MUTAKHIR

FALAK DALAM KEHIDUPAN: USM, JABATAN MUFTI PULAU PINANG PERKASA KERJASAMA SAINS DAN SYARIAH

USM PULAU PINANG · 15 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang falak menerusi Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung pada 14 hingga 15 Oktober 2026 di Dewan Utama Pelajar, USM.

Bertemakan “Falak Dalam Kehidupan”, konvensyen ini menjadi platform perkongsian ilmu serta memperkukuh hubungan antara kepakaran sains, teknologi, akademik, dan Syariah dalam pembangunan ilmu falak.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, dan turut dihadiri Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Jurnal Syeikh Abdullah Fahim (JUSAF) serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dengan JMNPP sebagai asas kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan, latihan, seminar, dan libat urus masyarakat.

Mohamad, dalam ucapan perasmiannya, menekankan kepentingan pendidikan bersepadu dan integrasi ilmu pengetahuan dalam usaha memacu Pulau Pinang ke arah sebuah negeri pintar. “Strategi yang kita sasarkan adalah pendidikan yang bersepadu, iaitu integrasi ilmu pengetahuan. Pendekatan ini penting untuk menghubungkan ilmu agama dengan ilmu moden supaya kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menyentuh sejarah perkembangan pendidikan agama dan ilmu pengetahuan di Pulau Pinang, termasuk tradisi pondok dan madrasah, yang memperlihatkan bahawa pendekatan integrasi ilmu telah lama menjadi sebahagian daripada perkembangan pendidikan masyarakat. “Dalam konteks ilmu falak, pendekatan ini membuka ruang untuk menghubungkan ilmu agama dengan sains moden, di samping memperluas penyelidikan dan pembangunan kepakaran dalam bidang berkenaan,” tambah beliau.

Sementara itu, Abdul Rahman turut menegaskan bahawa ilmu falak mempunyai hubungan erat dengan agama dan kehidupan masyarakat, dan dengan itu, perlu terus dikembangkan melalui pendekatan integrasi ilmu. “Perkembangan ilmu falak perlu dilihat bukan sahaja dari sudut saintifik, tetapi juga melalui pendekatan yang menghubungkan ilmu wahyu dengan sains moden bagi melahirkan masyarakat yang berilmu dan berfikiran kritis,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), USM dalam memperkasa bidang astronomi, sains angkasa, dan falak menerusi penyelidikan serta kerjasama dengan pelbagai agensi. Beliau juga berharap MoU yang dimeterai oleh USM dan JMNPP itu dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan program dan penghasilan penyelidikan yang memberikan impak lebih besar kepada masyarakat dan negara.

Mohd Sukki pula menekankan kepentingan memelihara dan mendokumentasikan warisan keilmuan Islam agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Beliau turut menzahirkan harapan agar penerbitan JUSAF menjadi wadah untuk menghimpunkan hasil penyelidikan dan penulisan berkaitan fatwa serta perkembangan ilmu Islam, khususnya di Pulau Pinang. “Ilmu bukan sekadar dikumpulkan sebagai fakta, sebaliknya perlu difahami, dihayati, dan dimanfaatkan untuk mendekatkan pengetahuan kepada masyarakat. Usaha ini penting bagi memastikan tradisi keilmuan Islam terus diwarisi dan dikembangkan selaras dengan keperluan semasa,” tegas beliau.

Pelancaran JUSAF juga mencerminkan usaha berterusan untuk mengangkat sumbangan tokoh ulama dalam sejarah perkembangan ilmu Islam di Pulau Pinang. Nama Syeikh Abdullah Fahim membawa nilai sejarah yang perlu dipelihara melalui penyelidikan dan penulisan ilmiah, sekali gus menjadi sumber rujukan kepada generasi seterusnya.

Ilmu falak mempunyai aplikasi yang luas dalam kehidupan, termasuk penentuan waktu ibadah, arah kiblat, takwim Hijri, rukyah dan hisab, selain bidang pendidikan, penyelidikan, meteorologi, pertanian serta pelancongan berasaskan ilmu dan sains. Konvensyen selama dua hari itu turut menampilkan simposium, pameran saintifik, cerapan falak, planetarium bergerak, pelancaran roket air, dan pelbagai aktiviti pendidikan. Program tersebut melibatkan kira-kira 200 peserta dengan kehadiran 5,000 pengunjung.

Penganjuran konvensyen tersebut diharap dapat memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat rujukan ilmu falak di peringkat negeri dan serantau, selain memperluas jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan masyarakat dalam pembangunan ilmu falak.

Teks: Nur Anis Alimi, Intern@MPRC, USM
Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
```