ECONMINDS USM CIPTA KEJAYAAN, TERSENARAI LIMA TERATAS INTERVARSITY IDEATHON EIC 2026
Seramai 15 ahli Kelab Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai program Economics Intervarsity Carnival (EIC) 2026 selama dua hari bermula 16 Oktober 2026 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Dianjurkan oleh Bachelor of Economics Student Association (BECS), UIAM, program tersebut dijalankan bagi memperluas pengetahuan serta mengasah kemahiran mahasiswa dalam bidang ekonomi dan inovasi.
Selain itu, ia juga membuka ruang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti akademik dan perkongsian idea bersama peserta daripada universiti lain.
EIC 2026 menghimpunkan mahasiswa daripada lapan institusi pengajian tinggi, iaitu UIAM, UM, USM, UKM, UPM, UUM, UPTM, dan UPSI dengan menyediakan ruang untuk pertukaran idea serta perkongsian perspektif dalam kalangan mahasiswa.
Bertemakan “Future-Proofing Malaysia: Youth-Led Solutions for an Ageing Society,” pertandingan tersebut mencabar peserta untuk mengemukakan penyelesaian inovatif dan mampan bagi menangani cabaran sosioekonomi susulan peningkatan populasi warga emas di Malaysia.
Menerusi pertandingan Intervarsity Ideathon Case Study Challenge, pasukan ECONMINDS yang dianggotai oleh Nur Hidayahtul Balqis Muhamad Halili, Saranya A/P Supramaniam, dan Darren Liew Kai Rhen, dengan bimbingan Dr. Siti 'Aisyah Baharudin, pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, berjaya tersenarai antara lima pasukan terbaik menerusi penghasilan idea inovatif bagi menangani isu sosioekonomi semasa.
Menurut Siti 'Aisyah, penyertaan dalam EIC 2026 menjadi wadah strategik untuk mahasiswa memperluas pengetahuan dan pemahaman mereka dalam bidang ekonomi melalui pendedahan kepada isu, trend, dan cabaran semasa yang dihadapi oleh masyarakat serta industri.
“Pertandingan seumpama ini turut merangsang pemikiran kritis dan kreativiti mahasiswa dalam menghasilkan idea serta penyelesaian inovatif yang relevan dan berimpak tinggi.
“Pada masa yang sama, pengalaman yang diperoleh membantu mempersiapkan mereka dengan kemahiran insaniah, kebolehan menyelesaikan masalah, dan keupayaan membuat keputusan yang diperlukan untuk mendepani cabaran ekonomi dan sosial pada masa hadapan,” tambah beliau.