Skip to main content

DULU TERTARIK LOGO UNGU, KINI BERGELAR MAHASISWA USM - SITI MAISARAH

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 14 September 2026

Hasrat Siti Maisarah Yahya Lotfi, 20, untuk bergelar mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi kenyataan apabila pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 itu berjaya melanjutkan pengajian di universiti yang menjadi impiannya sejak kecil.

Siti Maisarah berkata, peluang melanjutkan pengajian di USM merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat dirinya, selain turut menzahirkan penghargaan kepada universiti kerana memberinya peluang menjadi sebahagian daripada warganya.

“Saya sangat teruja kerana USM adalah universiti impian saya. Apabila mendapat rezeki untuk masuk ke sini, perasaan itu memang sangat menakjubkan, apatah lagi ia telah menjadi impian saya sejak kecil,” katanya.

Lebih menarik, minat awal Siti Maisarah terhadap USM bermula daripada sesuatu yang cukup sederhana, iaitu beliau amat menyukai warga ungu pada logo USM. Kebetulan, ungu juga adalah warna kegemaran beliau.

Berkongsi rahsia kecemerlangannya, Siti Maisarah berkata, memberikan sepenuh perhatian ketika sesi pembelajaran di dalam kelas menjadi antara amalan utama yang membantunya memahami pelajaran dengan lebih mudah.

Menurutnya, pemahaman yang baik ketika di dalam kelas turut memudahkannya melakukan ulang kaji dan mengingati perkara yang dipelajari tanpa perlu mengambil masa terlalu lama untuk mempelajari semula sesuatu topik.

Siti Maisarah yang bercita-cita menjadi pensyarah Bahasa Melayu turut berpesan kepada pelajar lain supaya tidak mudah mengalah apabila berhadapan dengan kegagalan kerana setiap cabaran boleh dijadikan pengalaman untuk memperbaiki diri.

“Walaupun kita gagal sekali, dua kali mahupun 100 kali, teruskan bangkit dan jadikan kegagalan itu sebagai pembelajaran untuk kita menjadi lebih baik pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Kemasukan Pelajar Baharu USM Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Utama Desasiswa, USM, hari ini.

Terdahulu, Siti Maisarah merupakan antara 27 pelajar terbaik kebangsaan STPM 2025 daripada 18 universiti awam yang menerima tajaan yuran pengajian bagi melanjutkan pengajian dalam Program Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) dengan Kepujian.

Tajaan tersebut disampaikan pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Cemerlang STPM 2025 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada 7 September lalu.

Teks: Anis Solehah Zulkifli, Intern@MPRC, USM
Foto: Mohd Fairus Md Isa