DUA PELAJAR PhD USM MENANGI ANUGERAH POSTER DI RIKEN SUMMER SCHOOL 2026
Dua pelajar PhD dari Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi Anugerah Poster di ‘RIKEN Summer School’ yang berlangsung di Wako, Saitama, Jepun.
Nor Syafiqah Azmi dari Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano-Optoelektronik (INOR) menang dalam kategori Kejuruteraan, manakala Chin Ken Fui dari Pusat Pengajian Sains Fizik menang dalam kategori Fizik.
Kedua-dua pelajar kini sedang menjalankan penyelidikan kedoktoran mereka di RIKEN di bawah skim pertukaran ‘International Program Associate (IPA)’ melalui kerjasama USM-RIKEN Interdisciplinary Collaboration for Advanced Sciences (URICAS).
Anugerah tersebut disampaikan semasa acara dua hari yang berlangsung pada 10 hingga 11 September 2026. RIKEN Summer School menghimpunkan penyelidik muda dari pelbagai negara dan bidang penyelidikan untuk berkongsi hasil kerja mereka melalui pembentangan ringkas dan ceramah jemputan.
Poster yang memenangi anugerah dan pasukan penyelidik mereka adalah seperti berikut:
Nor Syafiqah Azmi
Penyelia utama: Prof. Madya Dr. Norzaini Zainal (USM) dan Dr. Hideki Hirayama (RIKEN)
Tajuk: Penstabilan permukaan lapisan aluminium galium nitrida melalui penyepuhlindapan suhu tinggi untuk diod pemancar cahaya ultraungu
Chin Ken Fui
Penyelia utama: Dr. Muhammad Rabie Omar (USM) dan Dr. Isao Watanabe (RIKEN)
Tajuk: Meramal dan mentafsir spektrum masa muSR yang tidak diukur menggunakan rangkaian Kolmogorov–Arnold
Anugerah ini mengiktiraf pembentang yang mampu menjelaskan penyelidikan saintifik yang kompleks dengan cemerlang dalam tempoh lima minit kepada peserta daripada pelbagai latar belakang. Pembentangan dinilai berdasarkan keupayaan mereka menjadikan hasil eksperimen mereka mudah difahami oleh saintis daripada disiplin lain, sambil mengekalkan ketepatan teknikal.
Pencapaian ini menyerlahkan bakat, penglibatan aktif, dan keyakinan pelajar penyelidik USM di persada antarabangsa.
Program ini turut disertai oleh dua lagi pelajar USM, iaitu Nurul Athirah Md Zaidi dan Wong Ru Shen dari Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), yang juga merupakan pelajar IPA di RIKEN.