Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

20 OKTOBER 2026 SK TAN SRI AWANG HAD SALLEH, BALIK PULAU

Dron, Cacing dan Matematik Cetus Minat STEM di Balik Pulau

USM membawa pembelajaran amali ke sekolah, membuka ruang penerokaan bersama murid dan guru

Murid SK Tan Sri Awang Had Salleh meneroka kit teknologi melalui aktiviti pembelajaran STEM bersama USM
Murid meneroka asas teknologi melalui pengalaman pembelajaran secara langsung bersama pasukan USM.

BALIK PULAU, 20 Oktober 2026 — Bolehkah dron membawa barang? Apakah makanan cacing? Bagaimana hendak mengira dengan lebih pantas?

Soalan spontan ini menghidupkan suasana di SK Tan Sri Awang Had Salleh apabila Universiti Sains Malaysia (USM) membawa pengalaman pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) terus ke sekolah menerusi Code & Fly, Soil Engineers dan Maths Mania.

Berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang, inisiatif jaringan masyarakat ini memberi peluang kepada murid sekolah rendah meneroka dron dan papan litar elektronik, mengenali peranan cacing dalam kesihatan tanah serta mencuba kaedah pengiraan matematik yang menyeronokkan.

Guru mendampingi murid sepanjang program, bersama pasukan USM yang membimbing mereka untuk memerhati, mencuba dan bertanya pelbagai soalan. Guru turut menyertai aktiviti, menjadikan pembelajaran suatu pengalaman bersama dengan pihak USM.

Menurut pihak sekolah Guru Besar, Puan Noor Hafiza Mohd Johari, majoriti murid datang daripada keluarga B40, termasuk keluarga nelayan dan pekerja kilang. Pelaksanaan program di sekolah membuka peluang kepada lebih ramai murid untuk menikmati pengalaman STEM, termasuk mereka yang kurang berpeluang menyertai aktiviti seumpamanya di luar sekolah yang kadangkala mahal untuk mereka sertai.

Murid berkumpul mengikuti salah satu sesi pembelajaran bersama pasukan USM.
Murid berkumpul mengikuti salah satu sesi pembelajaran bersama pasukan USM.

Dron Mengundang Soalan

Code & Fly dikendalikan oleh Khairu Anuar bin Mohamed Zain dan Mohd Hasnirol bin Baharom dari Collaborative Microelectronic Design Excellence Centre (CEDEC), USM.

Demonstrasi dron dan aktiviti papan litar elektronik memperkenalkan murid kepada asas teknologi melalui pemerhatian dan penerokaan secara langsung. Pertanyaan mereka turut menyentuh kegunaan dron dalam kehidupan harian, termasuk kemampuannya membawa barang.

Murid mencuba aktiviti menggunakan kit elektronik dengan bimbingan pasukan pelaksana.
Murid mencuba aktiviti menggunakan kit elektronik dengan bimbingan pasukan pelaksana.

Guru Panitia Sains, Noraimiyanti, menyambut baik pendekatan yang memberi ruang penyertaan lebih luas kepada murid.

“Apabila aktiviti seperti ini dibawa ke sekolah, semua murid berpeluang mencuba. Murid yang lebih muda pun bertanya sama ada dron boleh membawa barang. Mereka sudah mula memikirkan kegunaannya,” katanya.

Cacing Kecil, Rasa Ingin Tahu yang Besar

Soil Engineers dikendalikan oleh Dr. Hasnuri Mat Hassan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM, bersama pelajar sarjana Ong Jo Yee.

Murid diperkenalkan kepada peranan cacing dalam kesihatan tanah, asas pemeliharaan cacing serta vermikompos, iaitu penghasilan kompos dengan bantuan cacing untuk menguraikan bahan organik yang sesuai dan selamat.

Peluang melihat cacing dari dekat mencetuskan pelbagai pertanyaan tentang makanan, tempoh hayat, kitar hidup, ciri pembiakan dan cara mengenal pasti cacing dewasa.

Murid memerhati bahan aktiviti Soil Engineers secara dekat bersama pembimbing.
Murid memerhati bahan aktiviti Soil Engineers secara dekat bersama pembimbing.
“Murid bertanya tentang cara membela cacing, makanan yang sesuai dan manfaatnya kepada tanah. Apabila mereka dapat melihat sendiri, banyak perkara yang ingin mereka tahu,” ujar Noraimiyanti.

Ong, yang menjalankan penyelidikan berkaitan baja untuk tanaman kelapa sawit, turut membantu menerangkan hubungan antara bahan organik, cacing dan penjagaan tanah dalam bahasa yang mudah difahami.

Bagi murid Tahun Enam, Adilia Quisara dan Adilia Aryana, peluang memerhati cacing menjadi antara pengalaman paling menyeronokkan. Mereka menyifatkannya sebagai comel dan tertarik mengetahui cara mengenal pasti cacing dewasa melalui bahagian badannya yang menebal.

Mereka turut seronok mempelajari ciri pembiakan cacing dan peranannya dalam menyuburkan tanah. Kemesraan pasukan USM yang membuatkan mereka selesa bertanya, bergurau dan berkongsi penemuan sepanjang sesi.

Matematik yang Mengajak Murid Mencuba

Maths Mania pula dikendalikan oleh Muhammad Adam Hakim bin Muhammad Hanif dan Muhammad Irfan Danish bin Mohd Efendi, dua pelajar Pusat Pengajian Sains Komputer, USM.

Melalui aktiviti interaktif dan perkongsian kaedah pengiraan pantas, murid digalakkan mengenal pasti pola serta mencuba pendekatan berbeza untuk mendapatkan jawapan tepat dan pantas.

Pasukan pelaksana menggunakan peralatan komputer dan bahan persembahan semasa program.
Pasukan pelaksana menggunakan peralatan komputer dan bahan persembahan semasa program.

Guru Panitia Matematik, Loh Siew Lee, berkata pendekatan yang menarik membantu mewujudkan suasana lebih santai untuk murid mencuba.

“Ada murid yang bimbang apabila berhadapan dengan matematik, terutama soalan yang memerlukan kemahiran berfikir. Apabila kaedah pengiraan dikongsi dengan cara yang menyeronokkan, guru pun teruja untuk mencuba bersama murid,” katanya.

Penglibatan pelajar universiti turut memberi ruang kepada murid berinteraksi dengan pembimbing muda, mengemukakan soalan dan membincangkan jawapan bersama rakan.

Ilmu Universiti Dekat dengan Masyarakat

Inisiatif ini diterajui oleh Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik selaku ketua projek, dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM. Turut bersama menyelaras ialah Wan Nurizah dan Alief.

Pasukan tersebut menyelia perancangan, pelaksanaan dan penyelarasan program antara CEDEC, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Pusat Pengajian Sains Komputer serta pihak sekolah.

Kerjasama Guru Besar, Puan Noor Hafiza binti Mohd Johari, dan guru-guru yang mendampingi murid sepanjang program membantu memastikan aktiviti berjalan lancar serta sesuai dengan keperluan pembelajaran mereka.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran menegaskan bahawa usaha mendekati dan membantu masyarakat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab universiti.

“Misi kita ialah turun mendekati masyarakat dan membawa ilmu serta kepakaran USM untuk manfaat bersama. USM telah melaksanakan usaha ini dan akan terus memperkukuhnya melalui kerjasama dengan sekolah dan komuniti,” katanya.

Naib Canselor USM Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, turut merakamkan tahniah kepada pasukan pelaksana dan pihak sekolah atas usaha mencetuskan minat terhadap STEM sejak usia muda.

“Tahniah kepada semua yang menjayakan inisiatif ini. Membawa ilmu keluar dari kampus dan menyemai rasa ingin tahu sejak di bangku sekolah ialah usaha yang bermakna. Dalam konteks Pulau Pinang yang mempunyai kekuatan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pendedahan awal seperti ini boleh membantu membuka minat murid terhadap sains dan teknologi,” katanya.

Sepanjang lima jam tersebut, murid mendapat ruang mengikuti rasa ingin tahu mereka melalui pengalaman sebenar. Dron mencetuskan idea tentang teknologi, cacing membuka pemahaman tentang alam dan matematik menawarkan cara berbeza untuk berfikir.

Interaksi antara seorang murid dan wakil pasukan pelaksana sepanjang program.
Interaksi antara seorang murid dan wakil pasukan pelaksana sepanjang program.

Kerjasama USM dan sekolah ini diharapkan dapat menyemai minat yang berpanjangan melalui pengalaman yang dekat dengan murid: melihat sendiri, berani bertanya dan seronok mencuba.

Teks & Foto: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik, Konsultan Editorial Kanan MPRC@USM
Universiti Sains Malaysia · Pusat Media dan Perhubungan Awam