ggadfhfghs
Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh kedudukan sebagai universiti penyelidikan terkemuka apabila melancarkan Makmal Bersepadu (iLab), satu inisiatif strategik yang meningkatkan kecekapan serta kualiti penyelidikan di kampus induk USM.
U SM PULAU PINANG, 30 April 2026 – Majlis tersebut turut meraikan kejayaan perolehan infrastruktur penyelidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berjumlah RM58 juta, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa agenda penyelidikan berimpak tinggi.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM55 juta diperuntukkan bagi pembelian dan penggantian peralatan penyelidikan, manakala RM3 juta lagi bagi pembangunan Makmal Bersepadu.
Pada ucapan perasmian, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata peluncuran Makmal Bersepadu merupakan satu langkah penting dalam mentransformasikan pendekatan pengurusan dan pelaksanaan penyelidikan universiti.
— Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed
Abdul Rahman turut menegaskan bahawa kemudahan tersebut mampu meningkatkan keupayaan penyelidikan universiti serta memperkukuh reputasi USM di peringkat global.
"Pelaksanaan perolehan ini melibatkan 17 Pusat Tanggungjawab (PTJ) dengan pelbagai kaedah termasuk tender dan sebut harga, menghasilkan 212 unit peralatan penyelidikan dengan nilai perbelanjaan sekitar RM51.34 juta," jelas beliau lagi.
Tambah beliau, kemudahan ini dijangka memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti serta menyokong penghasilan penyelidikan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti dan industri.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Habibah A. Wahab menyifatkan Makmal Bersepadu sebagai platform penting dalam menyokong penyelidikan rentas disiplin.
— Prof. Dr. Habibah A. Wahab
Beliau turut menambah bahawa kemudahan ini membuka ruang kepada kolaborasi pelbagai bidang bagi menghasilkan penyelidikan yang lebih relevan dengan keperluan semasa.
Majlis peluncuran ini diadakan bagi meraikan pelaksanaan Makmal Bersepadu sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti, di samping menghargai perolehan infrastruktur penyelidikan di bawah RMKe-12 yang menyokong kecemerlangan dan daya saing penyelidikan di Kampus Induk.
Dengan kemudahan terkini serta pengurusan yang lebih tersusun, iLab dijangka menjadi pemangkin kepada inovasi, penghasilan harta intelek serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik dengan industri dan rakan antarabangsa.
Turut hadir ke majlis ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Azlan Amran; Penyelaras Pejabat Pengurusan Makmal Berpusat, Ts. Rusidah Mat Yatim; Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Mohd Salmi Ismail; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Mohd Fairus Md Isa