Skip to main content

DARIPADA SARINGAN BACAAN KE EKONOMI KITAR SEMULA, USM BAWA INOVASI KE FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA

Pameran USM mengetengahkan alat pengesanan awal kesukaran membaca, projek keusahawanan bersama wanita B40, dua inovasi mahasiswa dan pameran imersif tentang zaman prasejarah.

PUTRAJAYA, 18 November 2026 – Usaha mengesan kesukaran membaca lebih awal dan memanfaatkan bahan buangan sebagai sumber pendapatan antara tumpuan pameran Universiti Sains Malaysia (USM) di Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026. Kedua-dua inisiatif itu diketengahkan semasa lawatan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, ke ruang pameran universiti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Mengesan kesukaran membaca lebih awal

Dalam bidang pendidikan, USM memperkenalkan eMyBacaUji, inovasi yang dibangunkan oleh Profesor Madya Dr. Low Hui Min dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. Inovasi itu direka untuk membantu mengenal pasti kesukaran membaca pada peringkat awal supaya keperluan murid dapat diteliti dan sokongan pembelajaran yang sesuai dapat dipertimbangkan.

Dr. Low juga merupakan antara empat pensyarah USM yang menerima geran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena festival itu. Beliau menerima pembiayaan menerusi Skim Geran Pemecutan Syarikat Pemula dan Syarikat Terbitan (SUSOA) 2026, yang menyokong pembangunan dan pengkomersialan inovasi universiti.


Memanfaatkan bahan buangan, membina kemahiran niaga

Melalui projek 3R & Waste to Wealth bersama Usahawanita B40, USM menghubungkan amalan mengurangkan sisa, guna semula dan kitar semula dengan pembangunan keusahawanan komuniti. Projek di bawah Dana Inovasi Sosial USM itu memberi tumpuan kepada cara bahan yang lazimnya dibuang boleh dimanfaatkan semula dan diteroka sebagai sumber nilai ekonomi oleh usahawan wanita daripada isi rumah B40.

Di Dewan 8 hingga 10 PICC, mahasiswa USM turut mengetengahkan dua projek menerusi program Digital Innovation Creativepreneur (DICE 4.0). Pameran itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk menerangkan masalah yang ingin mereka tangani, memperkenalkan pendekatan yang dibangunkan dan mengetengahkan potensi keusahawanan di sebalik projek mereka.


Membawa penyelidikan arkeologi kepada pengunjung

Kepakaran USM dalam bidang arkeologi turut diketengahkan menerusi Pameran Zaman Prasejarah di bawah program Ideas in Action: Edutainment & Innovation. Dengan sumbangan kepakaran Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM, pameran itu menggabungkan bahan pameran fizikal dan persembahan visual imersif untuk membawa pengunjung menelusuri kehidupan masyarakat prasejarah di Semenanjung Malaysia. Pengunjung juga dapat melihat bagaimana penemuan arkeologi membantu penyelidik memahami kehidupan masyarakat silam.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang meninjau pameran itu dan melihat sendiri projek yang diketengahkan oleh penyelidik dan mahasiswa universiti.

“Penyelidikan universiti perlu bermula dengan soalan yang dekat dengan masyarakat. Dalam pendidikan, misalnya, bagaimana kita dapat mengenal pasti murid yang menghadapi kesukaran membaca lebih awal supaya guru boleh merancang sokongan yang sesuai? Di festival ini, penyelidik dan mahasiswa kami berpeluang menerangkan bagaimana mereka menjawab soalan seperti itu melalui projek yang dibangunkan, sambil mendengar pandangan daripada masyarakat.” menurut beliau.

Festival Idea Putrajaya 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berlangsung dari 17 hingga 19 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”. Pengunjung pameran USM turut dapat mengenali projek keusahawanan bersama wanita daripada isi rumah B40, melihat inovasi mahasiswa dan menelusuri kehidupan masyarakat prasejarah di Semenanjung Malaysia menerusi pameran arkeologi imersif.

Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Foto: Shahnizam Ab Rahim & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)