DARIPADA DATA KEPADA IMPAK: KETUA JABATAN USM PERKASA KEPIMPINAN STRATEGIK MELALUI AI
Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh keupayaan kepimpinan universiti menerusi penganjuran Program Artificial Intelligence (AI) Driven Management: Insight to Impact for Revenue Growth kepada ketua Jabatan, di sini baru-baru ini.
Program anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI), Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan dan Kluster Kepimpinan itu dikhususkan kepada ketua jabatan dengan memberi tumpuan kepada manfaat kecerdasan buatan (AI).
Ia turut dimuatkan dengan analisis data bagi menyokong pengurusan yang lebih cekap, pembuatan keputusan yang realisitik berasaskan bukti serta penerokaan peluang penjanaan pendapatan baharu jabatan yang lebih inovatif.
Sepanjang program, peserta meneroka secara langsung penggunaan aplikasi AI iaitu Gemini, ChatGPT, slide decks dan pelbagai aplikasi bagi proses menganalisis data kewangan sebenar yang digunakan untuk merancang strategi dalam peningkatan penjanaan pendapatan Jabatan secara lebih agresif dan berimpak.
Peserta juga digilap dalam aspek teknik prompting dan financial forecasting yang lebih komprehensif bagi mengenalpasti peluang dan inisiatif baharu dalam merancang pelan strategik jabatan.
Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan pemahaman konsep dan latihan praktikal ini memberi ruang kepada Ketua Jabatan untuk meneroka potensi AI sebagai instrumen strategik yang amat diperlukan dalam merancang pelan strategik serta tindakan, mengoptimumkan penggunaan sumber disamping memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan Kecemerlangan Universiti.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkasakan keupayaan bakat kepimpinan yang releven terhadap perkembangan teknologi digital, sekali gus menyokong usaha universiti ke arah tadbir urus yang lebih progresif, mampan dan berorientasikan impak.
Melalui inisiatif seumpama ini, PTI terus memainkan peranan dalam membangunkan kompetensi kepimpinan universiti agar lebih bersedia mendepani cabaran pengurusan masa hadapan dengan memanfaatkan teknologi AI secara strategik dan berkesan.