Skip to main content

DARI USM KE NEWCASTLE: PELAJAR PHD TERPILIH MENYERTAI ESHG OBSERVERSHIP PROGRAMME 2026

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 18 Ogos 2026

Pelajar Doktor Falsafah (PhD) Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Amin Abdurrahman Abdul Rashid, terpilih menerima tajaan €2,000 daripada European Society of Human Genetics (ESHG) menerusi ESHG Observership for Young Geneticists Programme 2026.

Beliau merupakan salah seorang daripada lima penyelidik muda atau pelajar pascasiswazah yang terpilih mengikuti program selama empat minggu itu, yang mendapat sokongan kewangan bagi menjalani sangkutan klinikal atau penyelidikan di institusi genetik manusia terkemuka di Eropah.

Menerusi program berkenaan, Amin Abdurrahman menjalani sangkutan penyelidikan di Newcastle University, United Kingdom di bawah seliaan Prof. James M. Allan di Clinical and Translational Research Centre serta The Wolfson Childhood Cancer Research Centre dari 8 Jun hingga 3 Julai lalu.

Sepanjang sangkutan itu, beliau mendapat pendedahan langsung kepada pendekatan penyelidikan moden dalam bidang bioperubatan dan genetik kanser, termasuk pengkulturan sel kanser, kajian sinergi ubat, teknologi CRISPR serta analisis data Next Generation Sequencing (NGS) bagi penjujukan DNA dan RNA.

Menurut Dekan PPSP, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, pengalaman itu dapat memperkukuh kompetensi saintifik, kemahiran teknikal dan jaringan kolaborasi antarabangsa beliau, selain memperluas perspektif penyelidikan serta pendedahan kepada pendekatan dan teknologi terkini.

“Pengalaman dan ilmu yang diperoleh diharap dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh penyelidikan dalam bidang genetik dan kanser serta menyumbang kepada penghasilan penyelidikan berimpak tinggi yang berpotensi memajukan penyelidikan kanser di Malaysia,” ujar Kamarul Aryffin.

Beliau juga berkata, PPSP turut memberikan sokongan dan peruntukan bagi menampung bayaran bench fee sepanjang tempoh sangkutan penyelidikan di Newcastle University. Penghargaan turut dizahirkan kepada Penyelia Utama, Prof. Madya Dr. Sarina Sulong, yang juga alumni Newcastle University, atas bimbingan, sokongan dan galakan berterusan dalam pembangunan akademik serta penyelidikan beliau.

Sarina pula berkata, kejayaan itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar pascasiswazah USM untuk merebut peluang mobiliti dan pembangunan profesional di peringkat antarabangsa, seterusnya membawa pulang ilmu, kepakaran dan jaringan kolaborasi yang dapat menyumbang kepada kecemerlangan penyelidikan negara.

“Pendedahan sedemikian juga berperanan penting dalam memperluas perspektif penyelidikan, memperkenalkan pendekatan dan teknologi terkini, serta membina kapasiti penyelidik pascasiswazah Malaysia agar lebih kompetitif di peringkat global,” katanya.

Teks: Prof. Madya Dr. Sarina Sulong, PP Sains Perubatan
Foto: Prof. Madya Dr. Sarina Sulong, PP Sains Perubatan